NANA tidak kisah dengan siapa akan digandingkan sebagai hero. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana Alias, 35, memberitahu dia akan kembali ke lokasi penggambaran drama terbaru, tidak lama lagi.

Namun, Siti Nordiana yang mesra dengan panggilan Nana berkata, pihak produksi kini masih mencari pelakon lelaki sesuai untuk digandingkan bersamanya.

"Mengikut perancangan, saya berkemungkinan masuk ke lokasi penggambaran drama baru pada Ogos nanti. Bagaimanapun, heronya belum ada.

"Jadi, sukar untuk dipastikan bila jadual penggambaran sebenar. Apapun, saya tidak kisah dengan siapa akan digandingkan sebagai hero," katanya.

Menurut Nana, setakat ini pelakon lelaki yang pernah berlakon sebagai heronya dalam drama ialah Alif Satar dan Fikry Ibrahim.

"Memang tak dinafikan, kalau ikut pada keselesaan berlakon tentulah saya suka bekerja dengan Alif dan Fikry. Tapi, biarlah pihak produksi yang tentukan.

"Saya okey saja nak berlakon dengan siapa pun yang dipilih menjadi hero. Paling penting, tidak ada babak bersentuhan dan mesra yang keterlaluan.

"Kalau babak yang perlu sentuh pun, saya pastikan berlapik. Apapun, tetap kena tengok pada plot jalan cerita dalam skrip," katanya.

Berkongsi aktiviti Ramadannya, Nana yang berstatus ibu tunggal berkata, satu cabaran besar buatnya untuk membesarkan anak lelaki, Muhamad Rayyan Nakhaie, 11.

"Kesibukan pada kerjaya seni yang padat dengan bermacam aktiviti, diakui ada kalanya membataskan masa saya bersama Rayyan.

"Namun, sebagai ibu saya tetap inginkan Rayyan membesar menjadi individu yang soleh. Jadi, penting untuk saya menunjukkan contoh yang baik kepadanya terlebih dulu," katanya.

Katanya, dalam proses mendidik Rayan, dia sedar betapa perlu mengubah diri sendiri dulu sebelum membentuk budi pekerti anaknya.

Terdahulu, Nana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon drama, Allahyarham Mohd Faizal Yusup pada 29 April 2006.

Namun jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 14 September 2009. Faizal meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:33 PM