NABILA tidak ambil pusing dengan kecaman negatif yang diberikan. FOTO Azhar Ramli
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI Nabila Razali sering mengalami gemuruh kronik hingga menyebabkan muntah kerana terlalu memikirkan kritikan dan kecaman warganet mengenai kemampuan nyanyiannya.

Nabila berkata, dia juga kerap tidak ‘sedap’ badan setiap kali menunggu giliran membuat persembahan.

"Sepanjang berada dalam industri seni nyanyian, saya tidak henti dikecam. Ada saja yang tidak kena dengan cara nyanyian saya.

"Disebabkan itu, setiap kali membuat persembahan saya pasti akan memikirkan komen yang bakal diterima daripada umum.

"Walaupun tidak ambil pusing dengan kecaman negatif yang diberikan, tetapi sebagai manusia saya ada hati dan perasaan. Sudah tentu ada kata-kata yang mengguris," katanya.

Menurutnya, dia tidak faham dengan sikap segelintir pihak yang tidak henti mengecam dan mengkritik dirinya.

"Saya masih tertanya kurang apa lagi Nabila Razali ini. Selama ini, saya tak pernah berputus asa, cuma rasa semua benda sudah buat untuk perbaiki mutu nyanyian.

"Barangkali terlalu kerap membaca komen warganet menyebabkan saya berasa gemuruh terlampau, tapi kalau tak baca tak boleh perbaiki diri nanti.

"Selain itu, saya juga ada mengambil kelas latihan vokal serta banyak bertanya kepada penyanyi senior supaya nyanyian tidak terus dikritik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:13 PM