HAFIDZ mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam sebelum bergelar artis lagi. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


KERAP memuat naik foto tidak berbaju di laman Instagram, pelakon Hafidz Roshdi tidak melihat tindakannya itu sebagai satu perkara negatif.

Hafidz menegaskan dia masih tahu menjaga batas apabila mengambil keputusan untuk berkongsi foto sedemikian di laman Instagram miliknya.

"Ramai yang tegur mengenai perkara ini sehingga ada pengikut Instagram meninggalkan komen mengenai tindakan ini, tapi bagi saya, ia bukan satu isu besar.

"Selagi masih menjaga batas dan tidak mendedahkan aurat, saya tidak rasa tindakan ini salah. Setiap gambar yang dimuat naik saya akan menutup bahagian pusat.

"Malah saya juga kerap memakai tali pinggang senaman yang menutup pusat supaya aurat tidak terdedah. Jika tidak, saya menyunting dahulu foto terbabit yang dimuat naik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan pertama kedai menjual produk alternatif berhenti merokok NCIG di Desa Sri Hartamas, di sini, baru-baru ini.

Majlis terbabit turut dihadiri pengasas NCIG, Shariffuddin Bujang dan rakan artis lain seperti Aedy Ashraf, Hefny Sahad serta Farhan Asri.

Menurut Hafidz, dia sudah mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam sebelum bergelar artis lagi.

"Bagi peminat yang mengikuti saya di akaun Instagram lama sebelum ia digodam, pasti mereka tahu saya sudah lama aktif melakukan aktiviti kecergasan.

"Dari dulu lagi, saya memang suka berkongsi foto terbabit untuk memotivasikan diri dan orang ramai.

"Tujuan saya adalah untuk kekal sihat dan mendapat tubuh badan yang ideal. Malah, saya gemar ambil gambar selepas bersenam untuk melihat perkembangan badan supaya kelihatan lebih cergas.

"Saya harap tiada pihak salah faham atau menjaja cerita yang bukan-bukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:39 PM