PENYANYI, Alvin Chong. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi Alvin Chong akui cuba berpuasa kerana mempunyai ramai kawan beragama Islam yang mengamalkan rukun Islam ketiga itu.

"Sudah jam 3.41 pagi dan saya tidak boleh tidur. Hari ini hari pertama Ramadan buat semua rakan beragama Islam.

"Oleh sebab saya tidak dapat tidur, saya nak cuba bersahur," kata Alvin berkongsi pengalamannya di laman sosialnya, awal pagi tadi.

Dalam perkongsian itu, dia sekadar menikmati kurma, pisang, timun, yogurt dan kekacang sebagai menu sahur.

Alvin berkata, mengikut perkongsian rakan-rakannya, selalunya sebelum mula berpuasa perlu ambil kurma ketika sahur.

"Jadi saya ambil tiga biji kurma dan kalau ada yang bertanya kenapa saya berpuasa, ia kerana saya ada ramai kawan beragama Islam yang berpuasa.

"Kalau ada yang cuba nak berpuasa, anda kena makan sebelum azan pertama di waktu pagi (Subuh) dan hanya boleh berbuka puasa selepas azan Maghrib," kata Alvin lagi.

Dia berharap dapat bertahan untuk berpuasa penuh hari ini kerana tahun lalu dia pernah cuba berpuasa namun tidak sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:20 PM