FRANCISSCA Peter.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


BARU-BARU ini, kecoh mengenai isu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mengundang kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, Bangtan Boys (BTS) ke negara ini bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, antara objektif utama niat itu adalah mahu mengubah trend supaya Malaysia menjadi destinasi persidangan dan konsert antarabangsa yang dapat menarik minat pelancong luar.

Dalam sebuah kenyataan di Instagram (IG) miliknya, beliau memberikan contoh di Singapura apabila kumpulan rock, Coldplay dan BTS memilih negara itu, Stadium Nasional Singapura dipenuhi peminat dan tiket habis dijual dalam tempoh kurang empat jam.

Bagaimanapun, hasratnya itu mendapat tentangan ramai pihak termasuk artis tempatan antaranya Datuk Awie yang menyifatkan hasrat Syed Saddiq itu akan menjahanamkan artis tempatan.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin pula berkata, kedatangan kumpulan muzik berkenaan tidak mustahil memberi kesan negatif kepada budaya masyarakat tempatan, khususnya belia.

Dalam kalangan artis tempatan juga, pendapat mereka berbelah bagi apabila ada yang memberikan reaksi positif berserta justifikasi selain cuma menentang tanpa alasan khusus. Berikut pendapat dua artis lama mengenai isu berkenaan.

DATUK RAMLI SARIP (penyanyi)

“Perkara ini ada pro dan kontranya. Kalau dalam TV boleh disiarkan mengenai artis K-Pop, sama juga kalau dibuat di sini cuma bezanya ini lebih fizikal.

Ada juga persembahan yang kadang-kadang kena ada garis panduan. Saya sebenarnya tidak banyak komen mengenai isu ini.

Kalau saya cakap tidak suka, hal ini masih berkaitan mengenai muzik dan seni. Kalau saya cakap saya suka, nanti ada yang mempertikaikan kenapa pada usia sekarang, saya masih menggalakkan perkara sebegini?

Bagi saya, saya sangat terbuka mengenai hal ini dan terpulang jika tidak berlaku pelanggaran garis panduan yang munasabah, saya sokong. Kalau persembahan itu mencolok mata, barulah kena fikirlah mengenai undang-undang.


RAMLI Sarip.

BTS sudah menakluk dunia dan menjelajah negara besar termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan kita tidak boleh samakan mereka dengan artis tempatan. Sejujurnya, persembahan kita boleh sampai tak sebagaimana mereka lakukan dan ada tak orang nak tengok?

Kumpulan itu bekerja terlalu keras, malah produksi mereka sangat profesional hingga acara anugerah berprestij di AS pun menjemput mereka. Pasti ada yang sangat istimewa mengenai BTS dan itu realiti perlu diterima.

Nak komen biar ada alasan yang sangat kukuh. Kalau saya cakap tidak suka sesuatu muzik, bukan bermakna anti muzik berkenaan dan kena terima hakikat ramai yang lain sukakannya.

Kalau muzik K-Pop diberi ruang yang logik dan tidak bercanggah dengan garis panduan diberikan, tiada masalah. Kalaulah persembahan itu melanggar hak asasi atau budaya tempatan, barulah tak kena.”

FRANCISSCA PETER (Penyanyi)

“Saya tahu ramai artis yang tidak senang dan bercakap mengenai isu itu. Kita tahu ramai artis tempatan sangat bagus dan hebat.

Tahukah artis Malaysia sebenarnya ramai yang dibayar sangat rendah? Itulah hakikat sebenar dan kami ibarat mesin karaoke berbayar apabila untuk membayar band pun penganjur susah nak keluarkan wang.

Jadi, perkara ini adalah sesuatu penghinaan yang sangat menyakitkan buat artis tempatan. Kenapa mereka tergamak tidak menghargai kami dan membuka peluang untuk beraksi di pentas acara besar negara ini?

Saya tidak faham kenapa perlu membawa artis luar untuk acara besar yang membabitkan promosi mengenai Malaysia. Sedangkan, artis tempatan sebenarnya boleh memberikan persembahan bertaraf antarabangsa juga.

Kita lihat bagaimana kejayaan konsert Sukan SEA tahun lalu yang turut dihadiri penonton dari seluruh dunia. Walaupun menampilkan ramai artis tempatan, konsert itu berjaya menarik perhatian mereka disebabkan persembahan diberikan sangat hebat.

Bayangkan jika kami diberikan peruntukan besar sebagaimana diberikan untuk membawa artis luar ke sini. Dengan produksi yang gah, jurutera bunyi terbaik dan band besar, kami pun mampu tampil dengan persembahan jauh lebih hebat.

Hakikatnya, kami bakal tampilkan persembahan yang diingati apabila diberi kesempatan itu. Jadi, saya rasakan ini adalah sangat menyakitkan apabila artis tempatan diberi layanan sebegitu. Siapa lagi boleh menjadikan Malaysia bagus kalau bukan kita sendiri memartabatkan rakyat sendiri?”.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 5:30 AM