NOURUL selamat melahirkan Isabella Depp jam 11.12 malam tadi melalui pembedahan. FOTO Instagram Nourul Depp
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Penyanyi, Nourul Depp, 42, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.02 kilogram menerusi pembedahan pada jam 11.12 malam tadi.

Nourul berkongsi berita kelahiran bayi yang diberi nama Isabella Depp itu menerusi akaun Instagramnya pagi ini.

"Assalamualaikum dan selamat pagi wahai yang baik hati, yang sentiasa mendoakan kami.

"Alhamdulillah, Isabella Depp selamat dilahirkan jam 11.12 malam tadi melalui pembedahan," tulisnya.

Nourul juga meluahkan rasa syukur dengan kehadiran bayi yang menambah seri buat keluarganya dan akan berkongsi foto anaknya apabila tiba masa sesuai.

"Alhamdulillah di atas satu lagi pemberian Allah yang sangat indah buat kami sekeluarga.

"Semoga kalian dirahmati dan insya-Allah, kami akan kongsikan gambar Isabella Depp," tulisnya.

Nourul juga melahirkan cahaya mata ketiganya hasil perkahwinan dengan Eric Daniel Depp itu lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu 10 Mei.

Pasangan itu sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Zachary Depp dan Raphael Depp.

Nourul juga mempunyai anak perempuan, Ayu Nazirah hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi dan komposer, Ajai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:18 PM