CAKRA Khan membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha AG 2019. FOTO Shafina Jemenon
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


NAMA penyanyi popular dari seberang, Cakra Khan, 27, memang tidak asing buat peminat di Malaysia.

Malah, kata penyanyi yang popular dengan lagu Harus Terpisah ini, Malaysia sudah menjadi rumah keduanya.

“Bukan saja rangkaian lagu popular saya mendapat sambutan peminat, kehadiran saya juga diterima dengan baik di sini.

“Sebab itu, saya sering berulang-alik ke Malaysia untuk bertemu peminat di sini,” katanya.

Pada masa sama, Cakra mengakui ada perancangan untuk berkolaborasi dengan penyanyi negara ini tidak lama lagi.

“Perbincangan masih berjalan dengan pihak pengurusan mengenai projek kolaborasi ini.

“Sudah ada beberapa artis dari Malaysia yang disenaraikan tetapi masih dirahsiakan,” katanya.

Mengenai konsert pula kata anak kelahiran Pangandaran, Jawa Barat itu, dia mahu melancarkan album kedua terlebih dulu.

“Memang banyak tawaran untuk saya mengadakan konsert di Malaysia tetapi biarlah album kedua siap dulu kerana ada lebih banyak lagu untuk disampaikan.

“Saya merancang melancarkan album kedua tahun ini,” katanya.


DAYANG Nurfaizah. FOTO Shafina Jemenon

Ditanya kenapa mengambil masa lama untuk muncul dengan album penuh, Cakra menjelaskan dia mahu perkenalkan single demi single terlebih dulu.

“Album pertama dihasilkan pada 2012. Saya percaya bukan semua lagu dalam album penuh hit dan kerana itu lebih baik buat single dulu.

“Album penuh kedua ini akan memuatkan 10 lagu,” katanya.

Mengulas lagu baharunya berjudul Adalah Aku, kata Cakra, ia adalah lagu sedih terakhir dihasilkannya.

“Selepas mengalami kemurungan pada Februari tahun lalu, saya bertemu pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan dan dinasihatkan supaya berehat daripada menyanyikan lagu sedih serta putus cinta.

“Selepas kesihatan semakin pulih, saya memutuskan untuk menyanyikan lagu bertema positif, kekeluargaan serta bermotivasi,” katanya.

Cakra ditemui selepas menjayakan persembahan Minggu Setiausaha Aero Group (AG) 2019 yang berlangsung di hotel terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden AG, Datuk Aizuddin Ghazali dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.


SHIHA Zikir. FOTO Shafina Jemenon

Gabungan penyanyi dua negara

Gabungan penyanyi popular dari Malaysia dan Indonesia antara tarikan sambutan Minggu Setiausaha AG 2019.

Ternyata gabungan tiga penyanyi tempatan iaitu Dayang Nurfaizah, Shiha Zikir, Fitri Haris serta penampilan Cakra Khan berjaya menampilkan kelainan sekali gus kembali memeriahkan sambutan Minggu Setiausaha yang suram tahun ini.

Cakra berkata, dia enggan melepaskan peluang keemasan menjayakan persembahan itu kerana dapat berkongsi pentas dengan artis popular Malayisa.

“Saya memang menanti peluang menjayakan persembahan Minggu Setiausaha yang diraikan saban tahun.

“Saya berasa puas kerana dapat menghiburkan penonton sekali gus mengubat kerinduan peminat di Malaysia,” katanya.

Pada petang itu, Cakra menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popularnya termasuklah Harus Terpisah, lagu Inggeris terkenal dan single baharu, Adalah Aku. Persembahan hebatnya mendapat tepukan gemuruh peminat.


FITRI Haris. FOTO Shafina Jemenon

Kemunculan Dayang juga tidak pernah menghampakan penonton apabila tampil dengan persembahan mantap dan bertenaga.

Malah, penonton yang terdiri daripada majikan dan setiausaha tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sehingga persembahannya berakhir.

Dayang menghiburkan penonton dengan lagu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung, Dayang Sayang Kamu dan lagu Inggeris.

Kehadiran penyanyi Shiha Zikir turut merancakkan suasana dengan rangkaian lagu seperti Hey Ladies dan lagu baharunya Pipiyama.

Shiha yang turut dikenali di Indonesia juga bijak berkomunikasi dengan penonton dan memilih lagu yang rancak sesuai dengan suasana.

Tidak ketinggalan, penampilan penyanyi dan bekas anggota kumpulan nasyid Unic, Fitri Haris dalam segmen pembukaan. Fitri berjaya menghiburkan penonton dengan lagu popularnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 4:30 AM