ESTRANGED pasang niat beri bantuan kepada mereka yang memerlukan. FOTO Asyraf Hamzah
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


VOKALIS kumpulan Estranged, Rich Gimbang menegaskan bantuan dana yang disalurkan bagi memberikan kemudahan bekalan elektrik pada dua kampung di pedalaman Sabah bukanlah persiapan untuk terjun ke dunia politik.

Malahan, kata Rich, bantuan yang diberikan itu adalah atas dasar tanggungjawab membantu insan memerlukan serta peri kemanusiaan dan bukannya dijadikan ‘lubuk’ menjana keuntungan untuk Estranged.

“Sudah lama kami memasang niat untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Tetapi, ketika itu kami tidak tahu caranya. Namun, pengurusan baharu kami membantu dan membuat susun atur projek ini.

“Memang ada pihak tertentu yang mulanya sangsi dengan bantuan pembinaan hidro elektrik ini. Mereka bimbang kami ambil kesempatan dan meraih keuntungan. Bagaimanapun, selepas kami jelaskan, semuanya okey,” katanya.

Kumpulan yang turut dianggotai Solihuddin Hormat (gitar) dan Nor Hanafi (gitar utama) itu berjaya mengumpul dana membina hidro elektrik untuk penduduk di Kampung Sungai Toubang dan Kampung Kieyip yang kedua-dua terletak di Ranau, Sabah.

Selain mengadakan konsert amal sebagai antara cara mengumpul dana, kata Nor Hanafi, mereka turut menjual ‘merchandise’ seperti buku nota, buku muzik dan baju.

Katanya, mereka turut memperuntukkan kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada royalti yang diterima untuk disalurkan pada dana pembinaan hidro elektrik manakala hasil jualan ‘merchandise’ adalah 100 peratus khas untuk bantuan itu.

“Kami menyasarkan untuk membantu sebuah kampung dalam masa setahun kerana tempoh mengumpul dana ini sendiri memerlukan masa yang agak panjang.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada beberapa individu yang turut memberikan sumbangan supaya projek hidro elektrik ini berjaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Estranged kini tampil dengan lagu baharu berjudul Mau. Menerusi lagu berkenaan, mereka berkolaborasi dengan selebriti Indonesia iaitu Jenita Janet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:19 PM