WANY Hasrita nasihat artis muda jangan berbelanja berlebihan dan simpan duit untuk masa depan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI popular, Wany Hasrita mengakui sudah menjelaskan cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Wany, 27, atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, dia mula dikenakan cukai sejak 2017 lagi.

“Perkara ini memang sudah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk bayar cukai kepada kerajaan.

“Secara peribadi, saya berpendapat lebih baik bayar sebelum dicari dan dikejar LHDN. Apa keadaan sekali pun, lambat laun tetap akan dicari untuk bayar.

“Daripada kena bayar sekali banyak, lebih baik langsaikan setiap tahun cukai supaya tidak timbul sebarang kesulitan. Malah, pada masa akan datang, menjadi kesenangan untuk kita juga,” katanya kepada Harian Metro.

Wany yang juga duta bagi beberapa produk berkata, artis perlu mempunyai penasihat kewangan bagi menguruskan aliran keluar masuk pendapatan.

“Saya berasa sebagai artis kena ada penasihat kewangan yang boleh memantau dan menguruskan kewangan.

“Bagi artis muda, jangan berbelanja berlebihan. Fahamlah sebagai anak muda semua benda nak beli.

“Nasihat saya, jangan berbelanja berlebihan. Kena simpan duit untuk masa depan dan uruskan kewangan dengan betul,” katanya.

Akhbar Harian Metro hari ini mendedahkan lebih daripada 30 artis muda popular atau dikenali ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang menikmati pendapatan ratusan ribu ringgit diletakkan di bawah radar LHDN selepas didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai.

Difahamkan, artis muda yang kebanyakannya menjadi ikon remaja itu meraih populariti mendadak selain mampu memperoleh pendapatan lumayan sehingga enam angka sebulan hasil persembahan, jemputan stesen televisyen, penajaan syarikat korporat atau hadiah program realiti disertai.

Malah, ada antaranya berbangga dengan lantikan sebagai duta produk, kereta mewah, perniagaan dalam talian serta aset dimiliki melalui perkongsian dengan peminat di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 3:32 PM