KHAI Bahar dan Siti Nordiana bersama trofi yang dimenangi.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


ANUGERAH MeleTOP Era 2019 (AME 2019) di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini menjadi kejayaan terindah buat Khai Bahar dan Siti Nordiana apabila masing-masing memenangi kategori utama Top Top MeleTOP Lelaki dan Wanita.

Lebih membanggakan apabila Khai dapat mempertahankan gelaran terbabit kali kedua berturut-turut selain turut memenangi kategori Penyanyi MeleTOP menewaskan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Ini adalah permainan antara kelab peminat setiap artis. Dapat mengalahkan nama-nama besar bukan bermakna saya lebih bagus daripada mereka.

“Bagaimanapun, undian peminat saya membuktikan mereka masih memberi kepercayaan kepada saya. Syukur tidak terhingga kepada kelab peminat saya dan sebenarnya kemenangan ini untuk mereka,” kata Khai.


SYAFIQ KYLE

Kategori Penyampai Radio MeleTOP dimenangi Johan, manakala Program Radio MeleTOP menobatkan Johara Pagi Era sebagai pemenang buat kali keenam sejak AME dianjurkan.

Pelakon drama Mr Grey, Eyra Hazali dinobatkan sebagai Artis Baharu MeleTOP menewaskan calon-calon hebat seperti Andi Bernadee, Sarah Suhairi dan Shafiq Farhain.

Tidak ketinggalan, trofi Program MeleTOP menjadi milik Sepahtu Reunion Live 2018 dan Artis Lawak MeleTOP juga dimenangi Jep Sepahtu.

Haqiem Rusli pula menang trofi Lagu MeleTOP menerusi single duetnya bersama Aman Ra iaitu Jatuh Bangun. Kategori Grup/Duo MeleTOP pula dimenangi gandingan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah.


Sepahtu Reunion Live memenangi anugerah Program Meletop. -Foto ZUNNUR AL SHAFI

Pelakon Syafiq Kyle antara pemenang trofi terbanyak apabila membolot kategori Pelakon MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP, dan Fesyen MeleTOP.

Selain itu, Siti Nordiana dipilih sebagai pemenang trofi kategori Hos MeleTOP. AME 2019 turut meraikan legenda lagu irama Malaysia, Datuk M Daud Kilau sebagai pemenang kategori Anugerah Khas MeleTOP.

Bagi setiap kategori, pemenang menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi dan kategori utama iaitu Top Top MeleTOP menerima hadiah RM10,000 berserta trofi.

Malam AME 2019 yang dihoskan Nabil Ahmad, Neelofa dan Jihan Muse itu turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi senior seperti Pop Shuvit, Ella, Misha Omar, Siti Nordiana dan Exists.


YUSOFF Al Qardawi rangkul anugerah Si cilik Meletop. -Foto ZUNNUR AL SHAFI

Manakala, persembahan daripada penyanyi generasi baru iaitu Hael Husaini, Aman Ra, Floor 88, Baby Shima, Andi Bernadee, Santesh, Shafiq Farhain, Sufian Suhaimi, Akim & The Majistret, Zizi Kirana, Khai Bahar, Ismail Izzani, dan Haqiem Rusli.

SENARAI PENUH PEMENANG AME 2019:

Top Top MeleTOP Lelaki: Khai Bahar

Top Top MeleTOP Wanita: Siti Nordiana

Fesyen MeleTOP: Syafiq Kyle

Artis Baharu MeleTOP: Eyra Hazali

Couple MeleTOP: Nur Fazura & Fattah Amin

Si Cilik MeleTOP: Yusoff Al Qardawi

Program Radio MeleTOP: Johara Pagi Era

Grup/Duo MeleTOP: Hael Husaini & Dayang Nurfaizah

Penyanyi MeleTOP: Khai Bahar

Lagu MeleTOP: Jatuh Bangun

Program MeleTOP: Sepahtu Reunion Live 2018

Drama MeleTOP: Lelaki Kiriman Tuhan

Hos MeleTOP: Siti Nordiana

Artis Lawak MeleTOP: Jep Sepahtu

Pelakon MeleTOP: Syafiq Kyle

Bintang Filem MeleTOP: Syafiq Kyle

Filem MeleTOP: Munafik 2

Penyampai Radio MeleTOP: Johan

Anugerah Khas MeleTOP: Datuk M. Daud Kilau

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 12:01 AM