DARI kiri, Zamani, Jamal dan Ameng.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


SELAMA dua dekad Istana Budaya diwujudkan, pelbagai konsert dengan pelbagai genre berlangsung dengan jayanya di situ.

Sebagai tempat yang dianggap paling berprestij, Istana Budaya sering menjadi idaman penggiat seni tidak terkecuali penyanyi untuk mengadakan konsert berskala besar.

Bagaimanapun bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam kerana tidak semua konsert atau persembahan yang diadakan mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Namun, tidak dinafikan artis yang sudah mencipta populariti dalam bidang seni seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kumpulan Search dan kumpulan Wings tidak mempunyai masalah menarik peminat untuk hadir menyaksikan persembahan mereka.

Minggu ini sisipan Bling berkongsi senarai 10 penyanyi yang berjaya meraih kutipan tinggi dalam penganjuran konsert di Istana Budaya.

Konsert Alam Muzik M Nasir (27 Februari - 1 Mac 2009)

Datuk M Nasir tampil dengan pelbagai elemen menarik dalam konsert ini antaranya persembahan pantomin serta gimik menarik yang lain.

Beliau jelas hanya bersandarkan pada nama sendiri tanpa bergantung kepada penyanyi lain untuk menarik kehadiran peminat.

Dikenali sebagai ‘Sifu’ M Nasir memilih menyampaikan lagu pelbagai tema antaranya cinta, isu sosial, kemanusiaan dan kasih sayang.

Populariti M Nasir berjaya menarik kehadiran 5,270 peminat dan meraih kutipan RM663,270.

Konsert Jamal Abdillah J2011 Legenda (7 - 10 Januari 2011)

Konsert ini adalah Tribute Jamal kepada penyanyi legenda nusantara seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, M Bakri, Oslan Husin, S. Affendi, Ismail Harun, Eddy Silitongga, Yopie Latul dan Datuk Ahmad Jais.

Nafas baru dengan gubahan muzik segar daripada komposer Eddie Marzuki serta penampilan khas Datuk Ahmad Nawab ternyata berjaya menjadi penarik. Konsert ini menggamit kehadiran 4,693 peminat dan meraih kutipan RM764,767.

Konsert Opera Hidup Wings (29 April - 2 Mei 2011)

Ini kali pertama kumpulan yang ketika itu dianggotai oleh Awie (kini Datuk), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (drum) beraksi di Istana Budaya membuatkan peminat setia mereka amat teruja menyaksikannya.

Satu kelainan apabila lagu rock dinyanyikan di Istana Budaya membuatkan peminat tidak mahu ketinggalan menyaksikannya.

Turut menjadi tarikan ialah kemunculan bekas anggota kumpulan itu iaitu Mel (vokalis), Mus (vokalis), Sham (gitar) dan Jojet (drum).

Konsert ini ditonton oleh 7,173 peminat dan mencatat kutipan RM1,207,611.

Konsert Wings Rockestra (26 - 30 April 2013)

Rentetan kejayaan yang diraih mencetuskan idea untuk Wings kembali tampil beraksi di Istana Budaya.

Kali ini kelainan dilakukan apabila mereka beraksi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.

Konsep yang pernah dilakukan oleh kumpulan barat seperti Metallica, namun dianggap baru di negara kita ternyata membuatkan peminat Wings teruja untuk menyaksikannya.

Penampilan gitaris kumpulan God Bless, Ian Antono yang diterbangkan khas dari Indonesia amat ditunggu peminat. Turut beraksi ialah gitaris handalan tempatan, Hillary Ang.

Jumlah peminat yang hadir ialah 4,575 orang dan kutipan yang diraih ialah RM882,528.

Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza (20 - 24 September 2013)

Ia sebuah lagi konsert yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat setia Datuk Seri Siti Nurhaliza, lebih dikenali sebagai Sitizoners) yang sudah lama mahu melihatnya beraksi di Istana Budaya.

Kehebatan Siti sememangnya diakui dengan kualiti vokal dan persembahan yang mengagumkan. Beliau mampu berdikari tanpa bergantung kepada artis lain bagi menarik kehadiran peminat dalam konsertnya. Bahkan penganjur terpaksa menambah satu malam tambahan konsert ini.

Populariti Siti berjaya menarik kehadiran 5,487 penonton dengan kutipan diraih sebanyak RM806,192.

SITI Nurhaliza.

Konsert Teaterikal Suara Kita Awie, Erra & Ziana (3 - 9 Mac 2014)

Jenama Awie ternyata hebat mengungguli Istana Budaya. Menerusi gandingan dalam filem Sembilu yang pecah panggung pada era 1990-an, ia dibawa ke pentas pula menerusi konsert ini.

Idea ini ternyata menjadi kerana peminat yang pernah melalui zaman itu, hadir beramai-ramai untuk menyaksikan gandingan semula tiga nama besar ini diatas satu pentas.

Amat mengagumkan apabila ia menarik kehadiran 9,099 penonton dan mencatat kutipan RM1,292,151.70.

Konsert Kembara Hati Emas (21 - 23 November 2014)

Ia sebuah konsert yang menampilkan anggota asal Kembara iaitu Datuk M Nasir, A Ali dan S Sahlan. Persembahan yang dibawakan berjaya mengembalikan semula nostalgia lama dikalangan peminat yang membesar dengan lagu mereka.

Biarpun dipanjat usia, energi dan kemantapan vokal trio ini tidak pernah pudar dan tetap sama seperti dahulu.

Konsert ini ditonton oleh 3,939 peminat dan mencatat kutipan RM746,376

Konsert Search (4 - 7 Disember 2014)

Satu lagi konsert hebat yang dinanti-nantikan oleh peminat genre rock. Sudah lama mereka menunggu Search beraksi di Istana Budaya dan ia akhirnya menjadi kenyataan.

Search menampilkan Amy (vokal), Kid (gitar), Din (gitar), Nasir (bass) dan Pae sebagai pemain dram undangan.

Yazit pula hanya tampil beraksi untuk tiga lagu memandangkan kesihatannya kurang baik ketika itu. Peminat setia mereka daripada seluruh pelosok negara hadir menyaksikan konsert ini sebagai tanda sokongan.

Bilangan keseluruhan mereka yang hadir ialah 5,390 orang dan kutipan yang diraih sebanyak RM971,406.50.

KUMPULAN Search.

Konsert 3 Suara Datuk Jamal, Ameng & Zamani (22 - 25 September 2016)

Ia sebuah persembahan yang ditunggu ramai kerana selain Jamal dan Zamani, peminat ingin menyaksikan kelibat Ameng beraksi di Istana Budaya.

Apa yang diinginkan penonton berjaya dipenuhi oleh trio ini dengan persembahan yang membangkitkan nostalgia dengan lagu popular era 1980-an dan 1990-an.

Gabungan ini berjaya menarik kehadiran 3,457 penonton dan meraih kutipan RM730,706.

Konsert Duo Legenda Datuk Jamal & Datuk M Nasir (20 - 23 Disember 2018)

Ramai yang tertarik untuk hadir kerana mahu melihat kombinasi dua karakter berbeza ini di atas pentas. Ternyata keserasian gandingan dua penyanyi bergelar Datuk ini berjaya memikat penonton yang hadir.

Mereka memilih menyampaikan lagu popular yang turut sama dinyanyikan oleh peminat. Turut sama memeriahkan konsert ini ialah Osama, anak sulung Jamal yang membuktikan dirinya adalah pelapis legasi ayahnya.

Konsert ini dihadiri oleh 3,151 peminat dan mencatat kutipan RM752,755.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 5:30 AM