NANA Al Haleq berpisah selepas sudah tidak ada lagi persefahaman. FOTO Instagram Nana Al Haleq
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


SELEPAS setahun mendiamkan diri mengenai status sebenar perkahwinannya dengan jejaka dikenali Aleq, pengacara Nana Al Haleq akhirnya mengakui mereka sudah bercerai pada Februari tahun lalu.

Nana ketika ditemui berkata, dia reda apabila rumah tangga yang dibina lebih lima tahun tidak dapat diselamatkan.

“Selepas hampir setahun setengah kami cuba berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga tapi masih gagal menemui jalan penyelesaian.

“Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk berpisah selepas sudah tidak ada lagi persefahaman,” katanya.

Menurutnya, dia sengaja mendiamkan status dirinya sudah kembali solo daripada pengetahuan umum kerana apa yang berlaku bukan mudah untuk diterima.

Katanya, selepas bercerai dia memaklumkan kepada pihak pengurusan, rakan terdekat serta keluarga supaya tidak menghebahkan perkara itu.

“Lagipun kalau berita ini keluar ketika itu pasti bekas suami berasa tidak selesa.

“Namun saya rasa tahun ini adalah masa sesuai untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul serta tidak mahu pengikut memandang serong terhadap saya.

“Jujur perceraian ini tiada kena-mengena dengan karier seni saya. Apa yang berlaku hanya tiada persefahaman antara kami,” katanya.

Nana dan Aleq mendirikan rumah tangga pada 12 Disember 2012. Sepanjang lima tahun berkahwin mereka tidak dikurniakan zuriat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:16 PM