SONAOne, Alif puas dapat hiburkan penonton pada Showcase Detail di The Bee, Publika. FOTO: Sony Kartel
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SABTU lalu, 500 peminat membanjiri ruang di The Bee, Publika, Kuala Lumpur untuk menyaksikan sendiri persembahan hebat dua figura dalam dunia Hip Hop dan R&B, SonaOne dan Alif yang beraksi di pentas Showcase Detail.

Persembahan itu juga diadakan bersempena dengan pelancaran album terbaru kolaborasi mereka yang diberi judul Detail.

Tentunya, sambutan yang diterima untuk acara showcase itu sangat menggalakkan memandangkan tiketnya habis terjual.

Bagi SonaOne dan Alif, mereka berpuas hati kerana dapat sajikan satu karya yang bagi mereka, penuh teliti, sesuai dengan judul album berkenaan.

“Album ini sangat penting buat kami berdua dan mahu pendengar mendengar sendiri semua lagu yang dimuatkan dalam Detail dari permulaan sampailah lagu terakhir,” kata Alif.

Bercerita mengenai album baru itu, ia umpama kombinasi yang menghasilkan satu bunyi baru buat mereka berdua.


SHOWCASE Detail bukti peminat masih sanggup bayar harga tiket untuk saksikan satu persembahan hebat.

“Kami ‘berseronok’ saat menghasilkan album ini dan gabungan ini menghasilkan satu ‘sound’ baru.

“Sesuai dengan nama album ini, kami berikan perhatian kepada semua aspek penting dalam penghasilan sesuatu karya bermula dari sudut komposisi, rakaman, mixing, kejuruteraan muzik dan sebagainya,” kata Alif.

SonaOne pula berkata, mereka menghasilkan karya yang membuatkan mereka rasa selesa.

“Kami buat apa yang kami rasa okey. Kami juga perkenalkan single ketiga daripada album ini iaitu Look Around yang punya kekuatan tersendiri.

“Look Around bagi saya secara peribadi umpama satu keraian untuk karier seni saya dan Alif. Jadi, kami nak kongsikan rasa gembira ini dengan semua pendengar dan peminat,” katanya.

Penyanyi berusia 30 tahun itu juga berkongsi bahawa penghasilan album ini bukanlah untuk mengejar anugerah atau apa-apa penghargaan.

“Cukuplah sekiranya ia menerima penghargaan daripada peminat. Kami buat pun sebagai satu karya yang mengekspresikan perasaan dalam berkarya,” katanya.

Mempersembahkan 15 lagu dibahagikan dalam tiga segmen, kedua-dua mereka nampak sangat bertenaga, sekali gus tenaga itu juga diserap oleh penonton yang hadir.

Semua 15 lagu adalah lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan iaitu Detail, Apa Cerita, Look Around, Cameo, Ice, Pun Boleh, Private, Pandang Sini, Workhorse, The Soup, Good Problems, Disco, Tak Mahu, Like This dan Obvious.

Menariknya, walaupun album baru, Detail nampaknya berjaya mencuri perhatian peminat dan ramai yang menyanyi bersama mereka.


AKSI bertenaga daripada Alif.

Berbalik kepada penghasilan album, SonaOne dan Alif mengakui bahawa trend untuk mengeluarkan album kini sudah kembali.

“Saya harap, ramai penerbit akan keluarkan lebih banyak album sementara masih ada waktu,” kata Alif.

Selain SonaOne dan Alif, album Detail juga mendapat sentuhan Chris Athens dan Jimmy Cash yang pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam industri muzik dunia antaranya Justin Timberlake, Nicki Minaj dan Drake.

Showcase Detail membuktikan bahawa peminat masih inginkan dan sanggup membayar harga tiket untuk menyaksikan satu persembahan hebat daripada penyanyi kesayangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 5:00 AM