ORANG ramai beratur mendapatkan tiket Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur sebelum habis terjual dalam tempoh 32 jam saja. FOTO Ihsan Macpiepro
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


TIKET konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ In Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa apabila habis terjual dalam tempoh 32 jam saja.

Pra-penjualan tiket kumpulan dari Ireland itu dibuka Sabtu lalu bertempat di Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya bermula jam 11 pagi dan berlangsung selama sembilan jam.

Peminat fanatik kumpulan berkenaan ternyata sanggup bermalam di lokasi penjualan tiket itu semata-mata tidak mahu kempunan membeli tiket terbabit.

Bahkan, mereka turut berbaris panjang dan tidak kisah menunggu berjam lamanya sementara giliran tiba.

Penjualan tiket secara rasmi yang dibuka semalam menerusi laman web www.macpiepro.com turut habis terjual. Setakat ini, lebih 14,700 tiket sudah dijual untuk konsert selama dua hari itu nanti.

Westlife yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan, dan Mark Feehily bakal mengadakan konsert di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 8 dan 9 Ogos depan.

Kumpulan itu cukup popular pada penghujung 1990-an dan awal 2000. Antara lagu hit mereka termasuklah If I Let You Go, Flying Without Wings, My Love, World of Our Own, Queen of My Heart, Uptown Girl, I Have A Dream, Swear It Again dan banyak lagi.

Bagaimanapun, pada 2012 kumpulan itu dibubarkan manakala seorang anggotanya iaitu Brian McFadden sudah terlebih dulu keluar daripada Westlife pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:29 PM