SABRINA mahu mencuba apa saja watak untuk menjadi pelakon yang versatil. FOTO Asyraf Hamzah
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SAYA tidak menolak watak emak atau nenek sekalipun asalkan wajah diubah menjadi tua mengikut kesesuaian karakter.

“Sebagai pelakon berpengalaman, saya perlu mencuba apa saja watak untuk menjadi pelakon yang versatil,” kata pelakon Sabrina Ali, 37, ketika mengulas dakwaan dirinya menolak melakonkan watak emak seperti diperkatakan ramai ketika ini.

Justeru, Sabrina sangat berharap kenyataannya itu dapat menjawab segala persoalan terutama dalam kalangan produser, pengarah serta produksi drama dan filem.

“Ada pihak salah faham dengan kenyataan saya mengenai watak emak yang ditawarkan sebelum ini.

“Sebenarnya, saya menolak watak emak jika watak anak dilakonkan pelakon yang usianya tidak jauh beza daripada saya,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas dakwaan dia ditawarkan berlakon dalam filem arahan pengarah hebat Syamsul Yusof kerana hubungan keluarga, Sabrina menafikannya.

“Saya sudah membuktikan kemampuan dalam lakonan apabila tersenarai dalam Top 5, kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Khurafat pada Festival Filem Malaysia ke-24.

“Jika saya tidak bagus, Syamsul, Syafiq mahupun bapa saudara yang juga produser terkenal Datuk Yusof Haslam tidak akan menawarkan saya berlakon dalam produksi filem mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Sabrina mengakui hubungannya dengan Syamsul memang rapat sejak dulu.

“Sebagai sepupu, Syamsul banyak beri semangat untuk saya bangkit selepas berdepan dengan dua kali perceraian.

“Syamsul jugalah yang banyak beri peluang pada saya dalam bidang lakonan.

“Selain filem seram Khurafat, saya juga ditawarkan berlakon dalam filem arahannya, Munafik,” katanya.

Selain berlakon dengan Syamsul dalam filem Makrifat Cinta, Sabrina turut diberi kepercayaan oleh Syafiq dalam filem KL Special Force.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:54 PM