Norhayati Nordin
yati@hmetro.com


"SAYA beri tempoh hingga malam ini kepada individu berkenaan dikenali 'mak cik puaka' untuk buat keputusan sedia bersemuka dengan saya bagi menyelesaikan apa yang berlaku.

"Walaupun permohonan maaf sudah dihantar individu berkenaan secara mesej langsung (DM) kepada saya di Instagram (IG), ia tak dapat diterima melainkan dirinya tampil juga bersemuka dengan saya," kata pelakon dan usahawan, Datuk Fizz Fairuz.

Fizz, 40, berkata dia mahu bertemu dengan individu berkenaan bukan untuk membuka aib sesiapa tetapi berbincang bagi menyelesaikan apa yang berlaku.

"Saya sudah 70 peratus mengenal pasti siapa individu sebenar di sebalik nama 'mak cik puaka' ini. Jadi, saya mahu kami bersemuka.

"Disebabkan itu, saya masih ada pertimbangan untuk dia tampil bertemu dan memohon maaf pada sidang media yang dirancang esok.

"Bagaimanapun, hingga kini individu berkenaan masih berdiam diri dan jika tiada sebarang jawapan daripadanya hingga malam nanti, saya akan membuat laporan polis esok juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Star Vendors Mega Raya Fest 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Fizz berkata, tempoh seminggu diberi sudah cukup dan jika peluang untuk perbincangan damai itu tidak diambil individu berkenaan, tindakan undang-undang diteruskan.

Mengulas ringkas identiti 'mak cik puaka' itu, Fizz berkata, individu berkenaan turut terbabit dalam industri hiburan tempatan.

"Dia sudah tidak boleh nak lari mana. Identiti sebenar dia, saya tahu. Jadi, datanglah bertemu dengan saya pada sidang media dirancang.

"Tujuan saya, untuk menyelesaikan apa yang berlaku secara baik dan cepat. Bukan hendak merumitkan lagi keadaan," katanya.

Terdahulu, Fizz kesal dengan fitnah tidak berasas mengaitkannya disebarkan pihak berkenaan di media sosial selepas seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditangkap khalwat bersama pasangannya di Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Fizz berkata, tindakan nekad diambilnya kerana maruah, selain nama dan imejnya sudah cukup tercemar dengan cerita fitnah yang tersebar itu.

"Saya ada ibu, isteri, anak, dan keluarga. Begitu juga dengan karier serta tanggungjawab saya pada status 'Datuk' yang disandang ini.

"Dengan fitnah tidak betul ini, ia begitu memberi impak kepada saya, keluarga, imej dan karier. Jadi, mohonlah maaf secara terbuka dengan sama-sama kita bersemuka," katanya.

Sementara itu, isteri Fizz, Datin Almy Nadia berkata, dia hanya mahukan nama baik suaminya yang tercemar dibersihkan segera.

"Harapan saya semoga apa yang berlaku ini dapat diselesaikan segera. Suami saya ada banyak tanggungjawab yang harus dijaganya," katanya.

Katanya, warganet perlu berhati-hati sebelum memuat naik sesuatu entri di media sosial dan jika tidak sahih kebenarannya, jangan mengambil mudah dengan tidak berfikir panjang.

Berita berkaitan

Saman jika tak minta maaf dalam seminggu

Lebih baik bunuh suami daripada fitnah - Almy Nadia

Datuk Seri dicekup berkhalwat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 5:28 PM
FIZZ mahu bertemu dengan 'mak cik puaka' bukan untuk membuka aib sesiapa tetapi berbincang bagi menyelesaikan apa yang berlaku. FOTO Aziah Azmee