BLOODBROTHER
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


MUZIK rock ternyata masih berbisa dan terus menyinari persada seni tanah air walaupun terpaksa bersaing hebat dengan kemunculan muzik genre baru.

Justeru, tidak hairanlah banyak kumpulan rock baru yang muncul dan tegar memperjuangkan nuansa rock sebagai muzik pilihan mereka.

Bagaimanapun, tiada gunanya jika generasi baru yang bersemangat berkobar-kobar serta ghairah memperjuangkan muzik ini tidak diberikan atau dibukakan ruang dan peluang untuk beraksi.

Sehubungan itu, Mentari Merah Entertainment mengambil inisiatif tersendiri apabila membuka ruang untuk peminat serta pemuzik mengembalikan nostalgia kegemilangan irama rock yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat menerusi konsert Heavy Rock Nite.

Penganjuran yang kini memasuki edisi ke-4 akan berlangsung di ONR Production, Subang Bistari pada 20 April ini bermula jam 8.30 malam.


EDINA

Penganjur, Mohamed Noor Mustapha berkata, acara ini adalah aspirasi buat kumpulan yang bakal beraksi, selain memberikan nafas buat genre rock yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati peminat.

“Walaupun sudah memasuki edisi keempat, itu bukan bermakna kami selaku penganjur hanya memilih kumpulan yang boleh dikategorikan sebagai indie. Malah beberapa kriteria sudah kami tetapkan kepada setiap kumpulan yang bakal beraksi dalam setiap edisi.

“Insya-Allah satu hari nanti kami akan gandingkan kumpulan yang beraksi dalam edisi Heavy Rock Nite bersama kumpulan otai. Malah ia akan diadakan di lokasi yang lebih besar lagi,” katanya.

Walaupun tidak mendapat sebarang tajaan, dia yakin dengan pelaburan yang dibuatnya bagi menjayakan konsert itu nanti.

“Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap irama rock. Genre ini mempunyai tenaga hebat serta peminatnya yang tersendiri.

“Jadi, apa salahnya saya anjurkan satu program khas bagi membuka ruang buat pemuzik rock berkarya manakala peminat pula dapat melepaskan perasaan dengan menikmati persembahan yang ditampilkan,” katanya.


METALZONN

Antara kumpulan yang akan beraksi dalam persembahan kali ini ialah Metalzonn, Rusty Rabak, Sparrow dan Edyna.

Metalzonn pernah beraksi di pentas Rockstage 2017 sebagai aksi pembuka untuk konsert XPDC Kita Pengyu dan FTG.

Band yang dianggotai Wan Zam (vokal), Slasher (gitar), Areyoi (gitar), Fadil (bass) dan Bard Salleh (dram) itu kini mengorak langkah menghasilkan single Inggeris pertama berjudul Childrens of The War.

Sebuah lagi kumpulan yang bakal beraksi adalah Edyna. Biarpun usia penubuhan mereka baru setahun jagung, anggotanya sudah berpengalaman luas dalam arena muzik.

Edyna dianggotai tiga pemuzik iaitu Eddy, Mierul dan Kyoji Sky manakala Wan Soulmaster bertindak selaku pemain dram undangan.


RUSTY RABAK

Kumpulan ini dikenali menerusi lagu Cantas dan Malina ciptaan Eddy. Majlis perkahwinan Eddy dan Mierul pernah tular di media sosial apabila mereka berpakaian baju pengantin sambil bermain alat muzik.

Nama Rusty Rabak pula sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat genre rock ketika ini.

Mereka hadir dengan single berjudul Rakusan Durjana pada 2010 yang kemudiannya dijadikan lagu runut bunyi Drama Calon Menantu.

Walaupun anggotanya silih berganti, Rusty Rabak tetap teguh berdiri dan kini dianggotai Shah Rabak (vokal), Jay (violin), Am (bass), John Rambo (gitar), Abu Kemenyantz (gitar), Kyoji Sky (keyboards) dan OG (dram).


SPARROW

Rusty Rabak juga pernah terbabit dalam album kompilasi Rock Terus Rock keluaran Gagak Hitam Production pada 2011.

Sparrow adalah kumpulan heavy metal dari Ipoh yang turut beraksi pada malam itu. Mereka dianggotai Nan (vokal) R’man (bass), Ayie (gitar) dan anggota baru, Shah (gitar) serta Jac yang kini kembali mengambil posisi sebagai pemain dram.

Mereka akan tampil menghiburkan peminat dengan dua lagu iaitu Hasutan dan Nafsu Hati serta dua lagu baru yang akan dimuatkan dalam album akan datang.

Tidak terkecuali tampil menghiburkan peminat, kumpulan Bloodbrothers yang dianggotai Amer (vokal), Wan (gitar), Dell (gitar), Azmi (bass) dan Joy Oren (dram).

Mereka pernah menghasilkan album berjudul Insan pada 2015 menerusi kerjasama dengan Mohamed Noor Mustapa dan Aim Crossfire.

Tiket untuk menonton Konsert Heavy Rock Nite 4 berharga RM25. Keterangan lanjut boleh didapati menerusi Facebook Mentari Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:30 AM