PELAKON, Aman Nassim. FOTO Rosela Ismail
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my

SELEPAS hampir dua minggu dalam keadaan koma, bapa pelakon dan penyanyi Aman Nassim iaitu Nassim Haroon meninggal dunia jam 6.35 petang semalam.

Nassim, 60, mengidap kanser usus tahap empat menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Aman ketika dihubungi berkata, dia sempat membacakan kalimah syahadah ke telinga arwah sehingga dia meninggal dunia.

Aman yang baru bergelar suami kepada pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nur Baizura Ghani pada 6 April lalu berkata, bapanya sempat menunjukkan sedikit perubahan positif minggu lalu.

"Arwah sempat menjalani dialisis kerana buah pinggangnya dijangkiti kuman pada Isnin lalu. Ketika itu saya menganggap ada sedikit perubahan sebab doktor memberitahu kalau diikutkan tidak boleh menjalani rawatan sekiranya masih dalam keadaan koma," katanya.

Aman berkata, kesihatan arwah semakin merosot dan sering dimasukkan ke hospital sejak tahun lalu.

"Sepanjang menjaga arwah ketika sakit, itulah masa-masa yang terakhir dan tidak dapat dilupakan. Segala nasihat diberikan pada waktu itu dan paling saya ingat arwah sangat teruja untuk majlis perkahwinan saya. Pelbagai kelengkapan termasuk pakaian baru dibelikan untuk saya dan ahli keluarga lain," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Alif, Johor Bahru, hari ini.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Hidayah Idrus dan dua anak hasil

perkahwinan bersama Laila Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat kanser pada 2006, iaitu Aaron Nassim dan Aman Nassim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 10:45 AM