Sabrina belum bersedia mendirikan rumah tangga buat kali ketiga. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SAYA memang berkawan rapat dengan seseorang sejak setahun lalu. Buat masa ini, kami masih dalam fasa kenal hati budi dan saya anggap dia kawan baik yang sentiasa ada ketika susah senang,” kata pelakon Sabrina Ali, 37, ketika ditanya sama ada dia sudah ada pengganti.

Menurut pelakon popular Khurafat - Perjanjian Syaitan dan Munafik itu, dia belum bersedia mendedahkan identiti jejaka paling rapat dalam hidupnya itu.

“Apa yang saya boleh katakan dia orang biasa saja, bukan rakan artis ataupun ahli perniagaan.

“Saya selesa kami berkawan baik dulu dan dia juga rapat serta menerima tiga anak saya.

“Si dia juga banyak beri kekuatan untuk saya bangkit semula ketika berdepan masalah kemurungan sebelum ini,” katanya.

Sabrina ditemui pada majlis persembahan amal penyanyi Indonesia Nayunda yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Jalan Conlay di sini, petang tadi.

Ditanya perancangan untuk berkahwin pula, Sabrina berkata dia belum bersedia untuk ke arah itu buat kali ketiga.

“Saya pernah bercerai sebanyak dua kali dan sudah lima tahun melayari kehidupan sebagai ibu tunggal. Saya perlu lebih berhati-hati jika mahu berkahwin lagi.

“Jika ada jodoh nanti, moga bahtera kasih yang dibina itu kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.

Menerusi perkahwinan pertama, Sabrina dikurniakan cahaya mata perempuan, Ariyana, 12, manakala Syed Aryan Khan, 8 dan Syed Adrian Khan, 6, menerusi perkahwinan kedua yang turut berakhir dengan perceraian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:06 PM