KELUARGA Azar faham babak panas yang dilakukan menerusi teknik permainan kamera. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


“SAYA gementar nak tahu reaksi penonton selepas mereka menyaksikan watak Juita dalam drama Nur 2,” kata pelakon wanita meningkat naik, Azar Azmi mengenai drama bersiri popular yang mula ditayangkan di slot Samarinda, TV3, Selasa lalu.

Azar, 30, berkata, sebaik ditayangkan dia yang membawa watak sebagai pelacur sudah mendapat pelbagai kecaman dan kritikan pedas daripada netizen di media sosial.

“Saya gementar kerana sudah berusaha melakonkan watak Juita sebaik mungkin, tetapi tak tahulah sampai atau tidak ke hati penonton.

“Ditambah, bukan mudah sebenarnya untuk saya melakonkannya kerana perlu menjadi orang lain,” katanya.

Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi berkata, Juita itu sama sekali bukan dirinya.

“Watak Juita ini bukan diri saya dan untuk melakonannya membuatkan jadi terlalu penat. Sangat penat sebenarnya untuk kita jadi orang lain dalam melakonkan sesuatu watak berbanding diri sendiri,” katanya.

Mengulas juga babak panas dilakonkannya, Azar berkata, ia dilakukan menerusi teknik permainan kamera.

“Bagaimanapun, semua yang saya lakonkan itu kerana tuntutan kerja semata-mata. Segala kecaman dan kritikan penonton untuk watak Juita itu saya akan terima dengan baik dan positif,” katanya.

Mengulas mengenai penerimaan keluarga dan kekasihnya dengan keputusan berani melakonkan watak itu, Azar berkata, dia mendapat sokongan mereka.

“Teman lelaki tidak menghalang kerana dia tahu apa yang saya buat untuk Juita itu hanyalah lakonan.

“Begitu juga keluarga yang memahami kerana babak panas dilakukan menerusi teknik permainan kamera,” katanya.

Nur 2 yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin turut menampilkan lakonan Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Noorkhiriah dan Fatimah Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 4:30 AM