JOE beraksi di Hard Rock Cafe Singapura pula Sabtu ini.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

KEMUNCULAN pertama bekas pemain gitar Wings yang kini dikenali sebagai Joe Primed dalam persembahan solo The Best Of Joe di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 9 Disember tahun lalu mendapat sambutan hebat peminat.

Tarikan Joe dan pemuzik profesional yang mengiringi persembahannya iaitu Zul (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimi (bass) serta Adi Yamin Soul Statue (keyboard) membuatkan pusat hiburan itu sesak dengan kehadiran peminat yang mahu menyaksikan persembahan mereka dari dekat.

Melihatkan sambutan hebat ini, penganjur JJ Rochestra berminat membawa Joe beraksi di Hard Rock Cafe Singapura pula Sabtu ini bermula jam 10.30 malam.

Joe, 50, atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir berkata, dia menjanjikan persembahan hebat sebagaimana diperlihatkan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan percaya peminat akan terhibur.

“Saya pasti akan menampilkan karya sendiri ketika bersama Wings. Tak ketinggalan lagu daripada senarai ‘repertoire’ saya yang luas selain ciptaan komposer lain, terutama yang mengandungi 'guitar signature'.

“Saya percaya peminat ternanti-nanti persembahan ini kerana sejak dulu mereka minta saya memainkan lagu yang tak dapat dimainkan ketika saya beraksi dulu. Ia lebih terarah kepada mereka yang tahu lagu ciptaan saya untuk Wings ketika era Mus (May). Ada juga lagu ciptaan saya pada era Awie yang jarang dimainkan ketika konsert,” katanya.

Joe memulakan kariernya bersama kumpulan Scandals pada 1986. Lagu ciptaannya Penantian Yang Tak Pasti untuk kumpulan itu berjaya menjadi siulan peminat. Dia kemudian menyertai Wings pada 1 April 1988 dan mula membabitkan diri dalam penciptaan lagu serta rakaman studio sehingga hari ini.

Idea untuk mengadakan persembahan ini sudah lama difikirkan Joe tapi baru sekarang dia berpeluang melakukannya.


JOE (tengah) bersama pemuzik yang bakal mengiringi persembahannya.

“Kami berharap peminat Singapura dan Johor Bahru akan hadir beramai-ramai untuk menonton persembahan yang julung kali diadakan ini. Sebagai persediaan kami sudah mengadakan latihan intensif sejak dua minggu lalu untuk memantapkan persembahan.

“Persembahan yang dibawakan nanti dalam bentuk mood 'konsert ' selama dua jam 30 minit tanpa henti. Ia akan memaparkan kemampuan sebenar saya dalam seni permainan gitar dan akan menjadi penanda aras kepada saya serta pemuzik lain,” katanya.

Tidak ketinggalan, persembahan ini akan membuktikan Joe mampu bergerak sendiri sebagai seorang pemain gitar profesional. Tiket untuk menonton berharga $100 boleh dibeli terus di www.airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:00 AM