NABILA puas apabila peminat terutama kanak-kanak turut sama menyanyikan lagu Vroom Vroom dengannya dalam persembahan. FOTO Mahzir Isa
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SAYA bersyukur apabila video muzik single terbaru Vroom Vroom juga mendapat sambutan yang sama daripada peminat sama seperti lagu Pematah Hati sebelum ini.

“Ia juga sudah menerima lima juta tontonan di laman YouTube selepas lebih sebulan dilancarkan,” kata penyanyi Nabila Razali ketika mengulas sambutan peminat pada single terbarunya, Vroom Vroom ketika ini.

Menurutnya, dia juga sibuk mempromosikan single terbarunya Vroom Vroom yang juga ciptaan komposer serta penyanyi terkenal Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

“Saya juga berasa puas apabila peminat terutama kanak-kanak turut sama menyanyi lagu ini dengannya dalam persembahan.

“Saya percaya jumlah tontonan ini akan terus meningkat di YouTube dari semasa ke semasa,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas dakwaan lagu itu kurang tular di YouTube berbanding Pematah Hati, Nabila menafikannya.

“Sebenarnya, lagu Vroom Vroom belum dipromosikan secara meluas sebelum ini.

“Baru sekarang, pihak kami mempromosikan lagu ini secara besar-besaran.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa stesen radio tempatan yang turut membantu memutarkan lagu ini sekali gus berjaya menarik pendengar ketika ini,” katanya.

Terdahulu, nama Nabila meniti di bibir peminat apabila video muzik single Pematah Hati ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berjaya mencecah 24 juta tontonan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 3:05 PM