STACY (lima dari kiri) menyampaikan Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang, Institusi Pendidikan MARA (IPMa) sempena Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2019 semalam. FOTO Ihsan Instagram Stacy
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Stacy berasa bangga dan terharu apabila dipilih menyampaikan Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang, Institusi Pendidikan MARA (IPMa) sempena Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan MARA 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Stacy, 29, atau Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, ia pengalaman pertama dan menyifatkan satu penghormatan buat dirinya.

Selain Stacy, suaminya yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad dan penyanyi, Hazama turut diberi peluang sama.

"Selepas tamat Akademi Fantasia dulu, merasa juga pakai jubah konvokesyen pada sesi graduasi. Tidak menjangka pula kali ini dipilih dan diberi penghormatan untuk menyampaikan sijil kepada graduan cemerlang.

"Diakui rasa bangga juga sebab ini pengalaman pertama dan sesuatu yang baru untuk kami.

“Dalam masa sama, kehadiran kami menambahkan lagi semangat mereka untuk berjaya dalam bidang diceburi," katanya kepada Harian Metro.

Stacy turut menganggap pembabitannya pada majlis itu antara sumbangan kecil kepada graduan selain mendekatkan dirinya dengan golongan pelajar.

Malah, dia terharu apabila melihat beberapa pelajar IPMa yang berjaya di luar negara dalam bidang masing-masing.

"Sebelum giliran kami dipanggil, sempat juga melihat beberapa graduan menerima sijil masing-masing. Malah, ada antaranya yang cemerlang dan berjaya membawa nama pusat pengajian mereka ke luar negara.

"Sedikit sebanyak kejayaan mereka menjadi inspirasi kami untuk terus berusaha dan berjaya dalam bidang ini. Saya percaya, semua itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras," katanya.

IPMa membabitkan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Kolej Profesional MARA (KPM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 1:29 PM