HAIZA pertaruh pop dangdut selain Balada.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

IRAMA dangdut bagaikan sudah sebati dengan Haiza sejak dulu.

Malah, kata penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug ini, dia juga menyara hidup dengan menyanyi lagu dangdut sejak dulu.

Tidak hairanlah Haiza masih memilih irama dangdut untuk single terbaharunya berjudul Young & Gentleman khusus buat peminat setia yang menyokong karier nyanyiannya sampai hari ini.

Menurut pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin ini, irama dangdut lagu itu berkonsep pop dangdut dan sesuai dengan cita rasa peminat muzik semasa.

“Lagu ini lebih segar dan ia percubaan berani saya memilih untuk bekerjasama dengan komposer serta penyanyi terkenal, Aizat Amdan dan Mel Ramlan sebagai kelainan.

“Ia juga mengambil tempoh lama kerana saya menggunakan wang simpanan sendiri dan mahukan yang terbaik pada karya dihasilkan,” katanya.

Ditanya kenapa masih mengekalkan irama dangdut, Haiza berkata, dia memenuhi permintaan ramai peminat berbanding lagu balada.

“Maklumlah, saya sudah dikenali dengan lagu dangdut dan setiap kali memenuhi undangan, lagu dangdut juga yang diminta peminat serta penganjur persembahan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran single Young and Gentleman di pusat karaoke, The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya mengenai lagu balada pula, kata bekas bintang Gegar Vaganza musim kedua (GV2) ini, dia pernah menghasilkan lagu genre pop balada pada 2016 berjudul Tentang Cinta ciptaan Asfan.

HAIZA pada pelancaran album solo, muzik video dan muzik video karaoke ‘Young and Gentleman’ di Red Box, The Garden. -Foto Hafiz Sohaimi

“Namun, ternyata peminat cuma mengenali bakat dan kemampuan saya menyanyikan lagu pop balada dalam program GV2 saja kerana percubaan menghasilkan lagu pop balada selepas GV2 kurang mendapat sambutan,” katanya.

Kali terakhir Haiza muncul dengan single baharu ialah menerusi Jangan Pernah Berdusta selepas menyertai program nyanyian Duo Star bergandingan dengan Aepul Roza.

Sambung kontrak dengan Kool FM

Walaupun kembali dengan single terbaharu, ia bukan bermaksud Haiza mahu meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai radio di Kool FM.

Haiza berkata, dia masih setia dengan kerjaya itu dan sudah menyambung kontrak selama tiga tahun dengan stesen radio terbabit.

“Saya semakin selesa dengan kerjaya sebagai penyampai radio di Kool FM. Apa yang penting,

saya perlu bijak membahagikan masa antara karier sebagai penyampai radio dan bidang nyanyian. Kalau boleh, saya mahukan kedua-dua kerjaya diceburi ini bergerak seiringan,” katanya.

Pada masa sama, Haiza menaruh harapan single Young & Gentleman akan mendapat tempat untuk diputarkan stesen radio lain.

“Saya memang sedar penyampai radio yang mempunyai lagu sukar untuk menembusi stesen radio lain. Tapi jika saya berhenti menjadi penyampai radio di Kool FM pun, tiada jaminan untuk lagu saya dimainkan di stesen radio lain,” katanya.

Video muzik Young & Gentleman kini boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Sdn Bhd manakala muzik video karaoke boleh didapati di seluruh rangkaian Red Box, Green Box dan Red Box PLUS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 5:30 AM