ANTARA babak aksi dalam Bikers Kental 2.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Filem Bikers Kental 2 (BK2) mengutip semula kisah yang berakhir dalam Bikers Kental pada 2013 dan jika dilihat penceritaannya, ia tidaklah jauh beza.

Sekiranya ada penonton meminati jalan cerita filem Bikers Kental, mungkin menyukai lebih sedikit filem BK2.

Namun, jika penonton tidak sukakan jalan cerita dulu yang disifat­kan lemah oleh segelintir pengkritik, mungkin perasaan hampir sama untuk sekuel ini, cuma ‘baik sikit’ berbanding dulu.

Bercakap mengenai BK2, penceritaannya ‘caca marba’ dan hampir tiada fokus, terutama kepada hala tuju setiap karakter.

Hampir semua karakter, sama ada utama, pembantu atau tambahan diberi ruang skrin seolah-olah cuba bersikap adil dengan semua.

Apabila terlalu ramai pelakon yang mempunyai latar belakang sendiri dan hendak diceritakan, tema penting yang sepatutnya diangkat ‘tersembunyi’ begitu saja.

BK2 mengangkat banyak tema seperti persahabatan (antara watak Bidin, Aidid dan Eddy), cinta (antara watak Bidin dan Cherry, serta pencarian cinta Aidid) serta keluarga (antara watak Cherry dan Ananda).

Kemudian dibangkitkan pula tema dendam (antara watak Sayya, Cherry, Albuqueq dan Bidin) dan tema aksi antara Bidin, Aidid, Eddy, Sayya, Albuqueq dan semua yang terbabit.

Isunya, hampir semua tema itu diselit sama banyak, lantas memberi penonton pengalaman tontonan yang ‘memenatkan’.


ANTARA babak menarik dalam Bikers Kental 2.

Walaupun BK2 ‘penuh semangkuk Tomyam dengan segala isi’ dengan pelbagai tema, BK2 tetap ada kelebihan tersendiri.

Terutamanya tatkala menghidangkan babak aksi pertarungan, contohnya babak antara Aidid (lakonan Datuk Afdlin Shauki) yang beraksi hebat di layar.

Kemudian lakonan realistik watak Sayya Sukhaporn oleh Kaew Korravee Pimsuk.

Sementara itu untuk lokasi pula, banyak pembaziran dilakukan dalam BK2 kerana destinasi cantik di Hatyai dan Phuket tidak digunakan sehabis baik.

BK2 mungkin akan jadi lebih baik sekiranya penulis lakon layar dan pengarah benar-benar fokus kepada penceritaan yang lebih jelas.

Jika anda mencari sebuah filem aksi komedi bertema ‘road-movie’ dan persahabatan yang betul-betul kemas, rasanya BK2 perlu diperincikan lagi.

BIKERS KENTAL 2

• ARAHAN: Helmi Yusof

• PELAKON: Zizan Razak, Afdlin Shauki, Awie, Amerul Affendi, Bront Palarae, Kaew Korravee Pimsuk, Meau Julallangtip dan Pont Cranium

• GENRE: Komedi ‘road movie’

• TAYANGAN: 14 Mac 2019

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:01 AM