AKSI Siti Nurhaliza di Konsert On Tour di Axiata Arena. -Foto MAHZIR MAT ISA
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KONSERT Datuk Seri Siti Nurhaliza on Tour yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi ‘full house’ apabila semua 10,000 tiket habis dijual.

Pada lokasi ketiga konsert anjuran Shiraz Projects itu, ia ibarat konsert sirih pulang ke gagang Siti yang mana kali pertama dia mengadakan konsert di lokasi sama pada 1999.

Selepas 20 tahun, Siti, 40, kembali menghiburkan peminat dengan aura yang jauh lebih hebat sesuai dengan kematangan perjalanan seninya.

“Rasa aura 20 tahun lalu kembali. Anda semua masih ingat konsert saya pada 1999? Kenangan itu yang paling manis buat saya apatah lagi baru berusia 19 tahun waktu itu.

“Hari ini, saya di sini. Walaupun stadium sudah bertukar nama, tapi saya masih Siti yang sama seperti dulu. Mungkin saiz saja berbeza.

“Ketika konsert kali pertama dulu, macam-macam saya sudah buat. Antaranya, menjadi ahli silap mata, robot, pemuzik, gimnas, buat kawad senyap dan banyak lagi. Pendek kata, semua saya sudah buat,” katanya.

Pada konsert berdurasi dua jam itu, Siti membuka tirai persembahan dengan menyanyikan rangkaian lagu irama Malaysia popular nyanyiannya sekali gus tribute kepada komposer Allahyarham Datuk Suhaimi Mat Zain atau Pak Ngah.

Antaranya, Badarsila, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sampai, Nirmala, Balqis, Hati Kama dan Cindai.


Tidak ketinggalan, Siti turut menyanyikan lagu popular lain seperti Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Bila Harus Memilih, Cuba Untuk Mengerti, Intrig Cinta, Bisakah, Pastikan, Biarlah Rahsia dan Demi Kasih Sayang.

Kejutan buat penonton yang hadir, Siti memberi peluang kepada peminat untuk membuat dua permintaan lagu.

Peminat memilih untuk Siti menyanyikan lagu Seribu Kemanisan dan Kurniaan Dalam Kesamaran.

Tidak lengkap konsert itu tanpa menyanyikan lagu Siti Situ Sana Sini, Engkau Bagaikan Permata, Indahnya Percintaan, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu dan banyak lagi.

Tidak berkeseorangan, sama seperti konsert di Jakarta dan Singapura lalu, Siti turut menampilkan penyanyi popular Indonesia, Tulus dengan berduet menerusi lagu Seindah Biasa.

Selain itu, dua penyanyi lain turut membuat kemunculan pada persembahan pembukaan iaitu Yura Yunita dan Natasha Sass.

Antara artis yang hadir menyaksikan konsert Siti ialah Dayang Nurfaizah, Khai Bahar, Wany Hasrita, Siti Sarah, Shuib Sepahtu, Hael Husaini, Fara Fauzana, Siti Elizad, Lan Solo dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 12:12 AM