MAHU fokus karier dulu. FOTO Arkib NSTP.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PELAKON jelita, Mimi Lana, 24, mengakui dia sudah memiliki teman istimewa dalam kalangan artis.

Bagaimanapun, Mimi yang dikenali menerusi drama Halalkan Hati Yang Ku Curi dan Mawar Murni ini belum bersedia mendedahkan identiti teman istimewanya yang juga pelakon itu.

“Kami sudah kenal lama dan dia adalah lelaki paling rapat dalam hidup saya sekarang. Saya selesa berkawan dengannya sejak tiga tahun lalu.

“Lagipun kami sama-sama terbabit dalam bidang lakonan dan saya pernah berlakon sekali dalam drama dengannya sebelum ini. Kami berkawan rapat selepas nama saya bersih dari terpalit dengan episod hitam dulu,” kata pelakon tinggi lampai ini.

Ditanya kenapa dia berahsia identiti teman istimewanya itu, Mimi berkata, belum sampai masa untuk dia menghebahkannya.

“Kami masih dalam fasa berkawan dan mengenali hati budi lagi. Selagi masih belum ada ikatan yang sah iaitu perkahwinan, saya tidak akan menjaja cerita yang belum ada kepastian lagi.

“Insya-Allah, jika ada jodoh dan kami sudah sedia untuk berkahwin baru saya beritahu pada semua,” katanya.

Mimi berkata, buat masa ini dia mahu fokus pada karier seni terlebih dulu

“Saya jarang kongsi cerita peribadi kerana lebih suka bercakap mengenai karier seni kerana perjalanannya yang masih jauh lagi.

“Masih banyak impian dalam karier lakonan yang belum tercapai lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 4:42 PM