AWI anggap tiada jodoh dengan Atikah. FOTO/IG AWI RAFAEL
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Awi Rafael menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bekas tunangnya, Atikah Suhaime menjadi punca pembatalan majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung di Singapura, Ahad ini.

Awi, 33, atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael ketika dihubungi turut berharap orang ramai berhenti daripada terus menghukum dan menyalahkan Atikah yang juga pelakon dari Singapura itu.

“Dia orang yang baik. Jangan buka aibnya. Kasihan pada dia. Anggap saja apa yang terjadi ini sudah tidak ada jodoh.

“Sepanjang setahun ini dia bekerja keras. Pada akhirnya apabila wang sudah cukup, tapi ketentuan Allah kami tidak dapat bersama. Dalam perkara ini yang turut membabitkan keluarga, banyak pihak kena jaga. Apa yang penting, hormat dan jangan membelakangkan orang tua. Saya fokus pada ibu, dia dengan kedua ibu bapanya,” katanya kepada Harian Metro.

Awi berkata, dia percaya Atikah okey dan yakin dengan kelebihan dimiliki untuk terus berjaya dalam bidang seni.

Awi juga mengakui akan mengambil masa untuk berbaik dengan Atikah selepas apa yang terjadi.

“Apa saya buat selama ini untuk Allah. Tapi, apabila berlaku sebaliknya, saya sayu dan sedih. Saya sudah cuba tapi tidak berjaya. Namun, semangat saya tetap ada. Saya tidak akan mengalah dalam mencari cinta sejati. Mungkin aturan Allah lebih baik buat saya selepas ini.

“Saya percaya Atikah juga okey sebab saya lihat dia begitu positif dan bersemangat dengan kerja-kerjanya. Cuma, untuk mengatakan sejauh mana dia okey atau sebaliknya, itu membabitkan perasaannya sebagai wanita. Tidak semua boleh faham dengan apa saya rasa dan lalui ketika ini.

“Jika ditanya macam mana hubungan dengan Atikah selepas ini, apa boleh dikatakan perlukan tempoh untuk baik. Kalau nak tahu, sepanjang tempoh pertunangan kami susah berjumpa disebabkan kerjaya masing-masing. Apabila perkara ini terjadi, lagilah susah,” katanya.

Ditanya adakah keputusan membatalkan perkahwinan dibuat secara megejut, Awi berkata, perbincangan sudah dibuat beberapa hari lalu membabitkan pertemuan keluarga kedua belah pihak termasuk Atikah.

“Perkara besar seperti ini tidak boleh fikir satu hari. Lagipun, keputusan diambil selepas melihat perjalanan dalam tempoh setahun pertunangan kami. Cuma, baru-baru ini saja keputusan dibuat. Apa boleh dikatakan, jangan remehkan isyarat Allah.

“Sepanjang pertunangan, kami saling menghormati dengan kerjaya masing-masing. Kami lalui dengan penuh positif,” katanya.

Walaupun majlis sudah dibatalkan dan jemputan sudah dimaklumkan, Awi berkata, rakan terdekat yang sudah membeli tiket penerbangan tetap akan hadir.

Menurut Awi, ibunya tetap akan mengadakan majlis khas sebagai pembakar semangat untuk dirinya.

“Kalau ikutkan kami sudah menjemput 800 tetamu. Rakan yang sudah beli tiket dan kata nak datang majlis saya, kami tetap akan berjumpa Ahad ini di lokasi yang dirahsiakan.

“Mak kata ini adalah kejutan untuk saya. Dia yang pilih lokasi berkenaan. Dia mahu juga buat supaya saya tidak putus asa dalam mencari cinta. Majlis itu hanya acara makan-makan membabitkan kenalan rapat saja,” katanya.

Semalam, Awi dan Atikah mengejutkan ramai pihak apabila membuat pengumuman di Instagram masing-masing mengenai pembatalan majlis perkahwinan mereka.

Pasangan itu melangsungkan pertunangan pada 13 Mac tahun lalu selepas lima bulan berkenalan.

Berita berkaitan

Awi Rafael, Atikah Suhaime tak jadi kahwin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:48 AM