BARISAN selebriti popular yang bakal jayakan Asia GT Festival dan Celebrity Bazaar.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

SERAMAI 40 ahli Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) yang terdiri daripada usahawan dalam kalangan selebriti bakal memeriahkan Celebrity Bazaar sempena penganjuran Asia GT Festival yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Antara yang bakal terbabit ialah Syanie Hisham, Anne Abdullah, Noraniza Idris, Kuna, Siti Fairuz, Roy, Ifa Raziah, Azura Aziz, Efa Nareesha, Zulkifli Ismail, Badrul Muhayat, Abon, Ayu Damit, Zakiah Anas, Acong Sweetchild, Ainina Ahmad B dan Dilla Ahmad.

Selain itu, perlumbaan kereta GT terbesar di Asia Tenggara ini bakal dimeriahkan dengan penampilan artis popular seperti Izzue Islam, Joe Flizzow, SonaOne, Alif Sleeq, Aman Ra, Balkisyh Semundur, Nabil Mahir, KTown Chan dan Margaret Vasna.

Pelakon Syanie Hisham selaku jurucakap GTAS berkata, kebanyakan selebriti mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan apabila menyedari ruang dalam bidang seni ada pasang dan surutnya.

“Bukan soal artis sudah tidak laku atau tiada tawaran dalam bidang seni sebaliknya ini adalah perancangan masa depan.

“Kebanyakan selebriti yang berniaga sudah memiliki produk mereka sendiri dan GTAS pula membantu mencari tapak dan ruang niaga untuk selebriti,” katanya.

Menurut Syanie, GTAS juga berjaya mencari banyak ruang niaga dalam festival jualan di Malaysia dan luar negara sejak lima tahun lalu.

“Lebih 20 festival jualan dan acara antarabangsa disertai setiap tahun bagi membantu selebriti memperkenalkan produk mereka,” katanya ketika di sidang media Asia GT Festival dan Celebrity Bazaar di di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Syanie berkata, dia akan membuka gerai menjual twisted pizza masakannya sendiri di Celebrity Bazaar nanti.

Acara tahunan

Pengarah Eksekutif Country Heights Holdings Berhad, Matahari Lee berkata, acara perlumbaan terbesar di Asia Tenggara itu dianjurkan buat pertama kali untuk memenuhi kekosongan apabila perlumbaan Formula 1 sudah tiada.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka hadir ke kejohanan perlumbaan Saga Piala Perdana Menteri, Ahad ini sekali gus memberi penghormatan kepada jenama Proton pertama.

“Asia GT Festival menyasarkan 20,000 pengunjung sempena perlumbaan kereta dan Celebrity Bazaar terbabit.

“Kami mengadakan konsep bazar ini untuk membantu selebriti tempatan berniaga dan memeriahkan acara perlumbaan nanti. Pengunjung juga disajikan dengan pelbagai aktiviti keluarga seperti karnival permainan untuk kanak-kanak, pendakian batu dan ‘food truck’.

“Selain Celebrity Bazaar, ia membabitkan konsert mini membabitkan artis hip hop popular, Joe Flizzow dan 16 Baris Band yang akan diadakan pada jam 6.30 petang Ahad ini,” katanya.

Mengulas perancangan selepas ini, kata Matahari, Celebrity Bazaar adalah salah satu komponen besar dalam Asia GT Festival serta akan menjadi acara tahunan pada masa depan.

“Kami juga merancang membawa acara Asia GT Festival dan Celebrity Bazaar ke Thailand tahun depan. Ia diikuti Vietnam dan Indonesia dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:00 AM