ZEE5 Originals boleh didapati dalam pelbagai bahasa dan genre iaitu jenayah, drama, biopik dan kandungan yang memenuhi selera semua segmen penonton.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

PLATFORM hiburan digital multi-bahasa terbesar daripada Zee Entertainment Enterprises Ltd (ZEEL) iaitu Zee5 kini dilancarkan di Malaysia hasil kerjasama dengan Celcom dan dikuasakan oleh Apigate.

Zee5 yang dilancarkan di India pada Februari tahun lalu membolehkan rakyat di negara ini mengakses arkib terbesar kandungan pelbagai bahasa yang premium termasuk filem, program TV, muzik, video kesihatan dan gaya hidup.

Ketua Pegawai Perniagaan Zee5 Global, Archana Anand berkata, kandungan Zee5 mampu menarik penonton di negara ini kerana ia didatangkan dengan 12 bahasa merangkumi 100,000 jam.


ANTARA drama dan filem yang ditayangkan di Zee5.

Antaranya bahasa Hindi, Inggeris, Bengali, Malayalam, Tamil, Telegu, Kanada, Marathi, Oriya, Bhojpuri, Gujarati dan Punjabi.

“Zee5 mempunyai rangkaian kandungan yang luas untuk penonton bukan berbahasa Hindi seperti Tamil, Telegu, Malayalam, Punjabi dan Gurati yang popular dalam warga Asia Selatan, di sini.

“Negara ini menjadi pasaran utama kerana anggaran orang Asia Selatan seramai dua juta. Pasaran ini menjadi lebih penting buat Zee5 pada masa depan kerana evolusi digitalnya dan asas audiens yang sudah biasa menggunakan kandungan dalam talian.

“Ini menjadikannya sebagai satu pasaran berpotensi tinggi buat kami kerana kami merancang untuk melancarkan kandungan dalam bahasa Melayu dan bahasa lain bermula bulan depan,” katanya.


ZEE5 menjadi destinasi terbesar untuk kandungan multi-genre dan bahasa dengan kandungan sepanjang 100,000 jam dalam 12 bahasa.

Kandungan Zee5 yang menarik untuk negara ini termasuk rancangan popular TV Tamil seperti Sembaruthi, Poove Poochoodava dan Yaaradi Nee Mohini, Zee5 Tamil Originals seperti Kallachirippu, America Mapillai, D7 dan blockbusters terkini seperti Mersal dan Kalavu.

Bermula 31 Januari lalu juga, penonton di sini boleh memilih pek bahasa Tamil istimewa yang ditawarkan pada harga RM9.90 sebulan.

Archana berkata, terdapat banyak perbezaan Zee5 dengan platform hiburan digital lain.

“Fokus jelas terhadap bahasa yang menjadi pembeza utama Zee5 dan aspek ini diambil kira dalam semua segi terutama kandungan. Zee5 menjadi destinasi terbesar untuk kandungan multi-genre dan bahasa dengan kandungan sepanjang 100,000 jam dalam 12 bahasa.

“Selain itu, Zee5 Originals boleh didapati dalam pelbagai bahasa dan genre iaitu jenayah, drama, biopik dan kandungan yang memenuhi selera semua segmen penonton.

“Bukan saja kandungannya terdiri daripada 12 bahasa, Zee5 juga mempunyai navigasi dalam 11 bahasa. Penonton boleh melihat kandungan mengikut bahasa kegemaran mereka,” katanya.

Zee5 boleh dimuat turun daripada Google Play dan App Store. Ia juga boleh didapati pada Samsung Smart TV, Apple TV, Android TV, Amazon Fire TV dan www.zee5.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 6:00 AM