ERRA Fazira. -Foto Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SIAPA sangka Erra Fazira nampaknya menambah satu lagi gelaran dalam kerjaya seninya iaitu sebagai pelawak.

Erra berkata, dia selesa berada di dalam komuniti pelawak dan dunia komedi memandangkan dia juga terbuka untuk meneroka pengalaman baru.

“Saya rasa lebih relaks dan santai,” katanya.

Menurut Erra, sepanjang bergelar pelakon, dia juga pernah membawakan watak komedi, tetapi belum cukup untuk meletakkan dia sebagai pelawak.

“Saya pernah berlakon watak komedi, namun bukanlah pelawak kerana bukan senang sebenarnya nak jadi pelawak.

“Satu cabaran besar untuk membuatkan orang ketawa dan tak terperang­kap dalam situasi ‘krik krik krik’,” katanya.

Kini, Erra menggalas satu lagi tanggungjawab besar sebagai juri program komedi terbaru Astro Warna, Miss Lawak 2019.

Menariknya, program ini menampilkan 18 peserta wanita yang semuanya punya kekuatan dan idea komedi tersendiri.

Menurut Erra, Miss Lawak 2019 adalah platform terbaik memandang­kan industri seni kita hari ini mula ketandusan pelawak wanita.

“Kami cuba melahirkan pelawak wanita memandangkan kita pun tak ramai pelawak wanita. Tapi, paling penting adalah kualiti yang diberikan.

“Selain itu, kami juga mencari pelawak wanita yang ‘presentable’ dan pandai menjawab soalan yang diberikan kerana konsepnya ala pertandingan ratu cantik versi komedi,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran mencari pelawak wanita untuk mengisi industri seni yang rata-rata didominasi lelaki, Erra mengakui ada pelbagai cabaran besar.

“Ya, wanita ada banyak garis panduan yang perlu diikuti berbanding lelaki. Ada lawak yang kalau dibuat oleh lelaki, mendapat tepukan dan ketawa ramai penonton. Tapi, kalau perempuan buat, ada bunyi ‘krik krik krik’.

“Jadi, itu antara cabaran besar buat pelawak wanita. Memang susah sebenarnya nak saingi lelaki, tapi cabaran itulah yang akan mencungkil idea terbaik daripada semua peserta,” katanya.

Terkini, Erra bakal hadir dengan single terbaharu berjudul Menangkah Cinta ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Iman Imran.

“Lama juga saya tak keluarkan single baru. Bila Hafiz berikan demo lagu ini, saya terus tertarik kerana muzik dan liriknya dekat dengan diri saya,” katanya.

Erra juga bakal muncul dalam dua filem berjudul Wangi dan Rumah di samping masih menjalani pen­gambaran drama bersiri kepolisan, Gerak Khas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 4:00 AM