ANGGOTA asal Exist akan bergabung menjayakan projek khas 'reunion' 20 tahun. FOTO Instagram Ezad Lazim
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


SELEPAS lebih 20 tahun membawa haluan masing-masing, anggota asal Exist bakal mengadakan projek khas ‘reunion’ pada tahun ini dan tampil mengadakan konsert bersama.

Perkara itu disahkan sendiri komposer yang juga anggota asal Exist, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 42.

Ajai berkata, tahun ini adalah tahun paling tepat untuk mengubat kerinduan peminat selepas lama menantikan mereka.

“Sebenarnya perancangan untuk membuat ‘reunion’ ini sudah diusulkan dua tahun lalu. Bagaimanapun masa tidak mengizinkan apalagi masing-masing ada komitmen sendiri.

“Maka, untuk satukan semula ini agak susah. Apabila sudah duduk berbincang betul-betul, kami memutuskan untuk ‘lock’ tahun ini, memang inilah satu-satunya ‘reunion’ untuk konsert Exist.

“Kami akan mulakan dengan persembahan di sebuah acara besar, konsert untuk RTM, kemudian ke Singapura, Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Bersempena projek khas itu, Exist juga bakal tampil dengan sebuah single baru yang menggabungkan paduan suara Ezad dan Mamat.

“Akan ada single baru paduan suara Ezad dan Mamat. Orang nak tengok anggota asal Exist dan buat sekali saja, kami penuhi permintaan peminat.

“Selepas ini, kita pun tahu masing-masing akan sibuk namun sekurang-kurangnya ada kenangan untuk ini. Kalau ikutkan, memang susah nak kumpulkan balik disebabkan tidak mahu kacau agenda masing-masing,” katanya.

Exist ditubuhkan pada 1991 dengan anggota asalnya terdiri daripada Ujang, Along, Ajai, Musa, Shah, Ezad dan Mamat.

Antara rangkaian lagu popular Exist ialah Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu, Alasanmu, Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 2:09 PM