NELYDIA ketika di majlis ‘bridal showe’. FOTO/NELYDIASENROSE
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Nelydia Senrose menegaskan majlis 'bridal shower' yang diadakan kelmarin bukan mengikut budaya barat seperti diperkatakan warganet.

Nelydia berkata, majlis itu diadakan sebagai pertemuan untuk memaklumkan berita gembira perkahwinannya dengan jejaka dikenali sebagai Hafiz.

"Ini majlis pertemuan biasa. Saya aturkan untuk memberitahu secara rasmi akan berkahwin tidak lama lagi kepada jemputan yang terdiri daripada adik-beradik dan rakan perempuan saja.

"Pada majlis itu saya buat sedikit permainan dan pemenangnya dapat hadiah. Dalam masa sama, saya nak berkongsi momen gembira ini dengan mereka.

"Lagipun ini saja masa yang sesuai untuk kami berjumpa sebab saya sangat sibuk dengan kerjaya dan urusan perkahwinan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai tindakannya membaling bunga kepada tetamu yang hadir, Nelydia menganggap ia sebahagian daripada permainan.


NELYDIA ketika di majlis ‘bridal showe’. FOTO/NELYDIASENROSE

"Saya buat sekadar suka-suka. Tidak membawa maksud apa-apa pun," katanya.

Bercerita mengenai perkahwinannya itu, Nelydia mengesahkan bakal berkahwin dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, dia belum bersedia untuk berkongsi butiran lanjut mengenai majlis pernikahannya itu.

"Ya, majlis kahwin dah nak dekat. Doakan semuanya dipermudahkan dan segala urasan berjalan lancar.

"Saya berharap semua pihak menghormati keputusan untuk tidak bercerita lanjut. Sebagai pihak perempuan kurang manis untuk saya terlalu bercerita.

"Apa saya boleh katakan doakan yang baik-baik saja. Nanti saya akan kongsikan juga apabila sudah sampai waktu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:21 PM