SAMSUNI memaklumkan FINAS kini dalam proses baik pulih. FOTO Amirul Haswendy Ashari
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Samsuni Mohd Nor menyifatkan badan itu sebagai sebuah kereta lama yang perlu ‘dibaik pulih’ terlebih dulu.

“Tanpa sistem urus tadbir yang betul, sukar bagi FINAS untuk mencapai sasaran ditetapkan. Sekarang masih dalam proses ‘dibaik pulih’, tukar dan baiki apa yang patut.

“Apabila sudah elok dan cantik, barulah boleh bergerak dan tentukan siapa penumpang serta ke mana kita nak pergi,” katanya ketika ditemui selepas Anugerah Skrip Skrin 2018 di FINAS, Hulu Klang, semalam,

Samsuni yang baru dilantik sebagai pengerusi pada Disember tahun lalu, bagaimanapun belum dapat memberi tempoh masa diperlukan untuk badan itu membetulkan keadaan termasuklah menentukan siapa bakal dilantik Ketua Pengarahnya.

Katanya, sejak memegang jawatan itu, beliau mendapat sokongan yang sangat baik daripada khalayak industri.

Beliau juga mendedahkan FINAS sudah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Pihak kementerian menyatakan FINAS sudah berada di landasan yang betul cuma ramai meminta kami supaya lebih pantas.

“Kami boleh lebih pantas tapi kenalah tengok dulu kemampuan kewangan, tadbir urus dan aspek lain,” katanya.

Imbas kembali, khalayak industri rata-rata masih tertanya siapa Ketua Pengarah FINAS yang baharu selepas kali terakhir jawatan yang disandang Datuk Fauzi Ayob dikosongkan tahun lalu sehingga kini masih belum diisi.

Malah, ada yang mendakwa jawatan ‘kerusi panas’ itu akan disandang anak seni sendiri dan antara yang disebut ialah Datuk Hans Isaac, Datuk Norman Abdul Halim, Ahmad Idham Nadzri dan Najwa Abu Bakar.

Jawatan itu kini dipangku sementara oleh Timbalan Ketua Setiausaha KKMM Shakib Ahmad Shakir sejak Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:43 PM