ANTARA babak menarik dalam video Drama yang kini trending di YouTube. FOTO YouTube
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


VOKALIS Drama Band, Aepul Roza mengakui sangat terharu dengan sambutan luar biasa terhadap lagu baru mereka berjudul Drama sehingga menjadi ‘trending’ nombor satu di platform YouTube.

Aepul, 31, berkata mereka tetap menerima segala komen mengenai lagu itu meskipun ada yang menyifatkannya mencari publisiti murahan.

Katanya, mereka menerima segala komen dan pendapat mengenai lagu serta muzik itu sama ada positif atau negatif.

“Sangat terharu dengan sokongan yang masih diberikan walaupun kami sudah lama lancarkan lagu dan kali terakhir pada 2016.

“Setiap orang mempunyai pendapat sendiri dan kami hormati pendapat mereka. Bukan niat kami untuk menyakiti sesiapa atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Kami cuma meletakkan jalan cerita yang dirasakan sesuai untuk lagu terbabit. Kalau ada yang tersinggung, kami minta maaf,” katanya.

Aepul juga mendedahkan mereka tiada niat menyindir mana-mana artis dalam video itu.

Terdahulu, penyanyi Haqiem Rusli antara yang terkesan serta kecil hati mengenai dirinya dipersendakan dalam video terbabit.

“Seperti ‘disclaimer’ yang kami paparkan di awal video, cerita ini hanya cerita rekaan. Ada segelintir netizen yang membuat andaian mereka sendiri seterusnya mengundang pelbagai persepsi negatif.

“Buat yang tersinggung, kami minta maaf banyak. Bukan niat kami untuk menyakiti sesiapa,” katanya.

Meskipun dikecam teruk di internet, band itu tiada perancangan untuk menyunting atau membuat muzik video baru demi memuaskan pelbagai pihak.

“Kami bukan band yang banyak duit. Kami terima segala komen kejam dengan hati terbuka,” katanya.

Muzik video Drama berjaya meraih jumlah tontonan lebih 744,000 tontonan sebelum menjadi ‘trending’ nombor satu di YouTube sejak dilancarkan pada 15 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:09 PM