PRIYANKA Chopra
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

PASANGAN selebriti paling popular antarabangsa ketika ini, Priyanka Chopra dan Nick Jonas mengakui tidak tergesa-gesa menjadi ibu serta ayah, tetapi tetap berharap perkara itu berlaku juga satu hari nanti.

Priyanka, 32, mendedahkan mengenai perancangan keluarga ketika tayangan perdana filem terbarunya, Isn’t It Romantic di Los Angeles, baru-baru ini.

Pelakon drama Quantico itu berkata, walaupun itu tiada dalam fikiran mereka pada masa ini, ia masih perkara yang perlu berlaku dan bersedia memikul tanggungjawab itu apabila tiba masanya.

“Kami berdua tahu situasi itu (memiliki cahaya mata) adalah perkara perlu berlaku, tetapi ia bukan yang saya fikirkan sangat pada masa ini.

“Kami berdua sangat bersemangat dan sayangkan kerjaya, ‘berkahwin’ dengan kerja serta menyokong kerjaya antara satu sama lain.

“Jadi, saya pasti situasi ini akan berlaku secara organik,” katanya.

Nick sebelum ini pernah meluahkan keinginan untuk memiliki anak sendiri.

Melalui satu temu ramah, pelakon dan pemuzik berusia 26 tahun itu berkata, dia mahu menjadi bapa satu hari nanti.


PRIYANKA dan Nick berkahwin awal Januari lalu.

“Saya fikir ia adalah impian yang benar dan perlu dewasa dengan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, juara Miss World 2000 turut meluahkan keseronokan dan nikmat sejak bergelar isteri yang disifatkan sebagai penuh magis.

Katanya, pelik kerana dia dan suami belum berubah dan masih dalam proses mengenali antara satu sama lain.

Baginya ia sesuatu yang magis kerana setiap hari adalah perasaan dan hari baharu serta belajar sesuatu baharu dalam hubungan itu.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan untuk mereka berdua berkolaborasi dalam projek sama, Priyanka memberi alasan sendiri.

“Tiada jaminan perkara ini akan berlaku pada bila-bila masa, tapi oleh kerana kami bekerja dalam dunia kreatif, laluan itu tidak mustahil akan berlaku.

“Bagaimanapun, perkahwinan kami mungkin boleh dianggap sebagai sebuah filem ‘biracial’,” katanya.

Priyanka dan Nick berkahwin awal Januari lalu selepas mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu di Jodhpur, India.

Mereka mengadakan dua majlis perkahwinan berbeza mengikut budaya dan agama dianuti sebelum mengadakan tiga majlis resepsi pula untuk keluarga dan rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 8:48 AM