ANTARA babak kontroversi klip video Drama yang mana perempuan memulangkan tiara kemenangan disamakan dengan Haneesya. FOTO Instagram Aepul Roza
Ardini Sophia Sina

hellinie@hmetro com.my

VOKALIS kumpulan Drama Band, Aepul Roza menegaskan paparan jalan cerita pada video muzik lagu baru mereka berjudul Drama hanyalah rekaan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana individu.

Sejak dilancarkan pada Jumaat lalu, warganet mulai 'menyerang' Instagram penyanyi itu dengan kata-kata yang kurang menyenangkan.

Ramai yang menuduh Aepul mempersendakan individu terbabit dan sengaja menggunakan isu berkenaan bagi meraih populariti.

Katanya, lirik mengisahkan satu subjek yang rela ditipu atau dipermainkan oleh subjek lain dan itu mesej yang cuba disampaikan.

“Mereka yang melihat secara positif akan memahami dengan jelas apa ingin kami sampaikan. Bukan popular yang kami kejar. Kami cuma ingin sampaikan mesej menerusi lagu.

“Jalan cerita ini adalah rekaan dan mungkin berkait rapat dengan apa yang mereka sangkakan. Kami tinggalkan sangkaan itu pada mereka sendiri untuk putuskan. Bukan kami yang tentukan.

"Kami cuma ‘hidangkan’ bahan asas untuk mereka memasak, mereka yang tentukan masakan apa yang terhasil. Bukan sengaja membuka luka, cuma sedikit cerita yang mewakili kisah lagu kami," katanya.

Video muzik itu tidak hanya menarik perhatian umum tetapi juga mendapat respon daripada Haneesya Hanee, Erniesha serta penyanyi Haqiem Rusli yang memuat naik rasa tidak puas hati mereka di media sosial.

Haneesya menyatakan perkara itu membuatkannya tertekan manakala Erniesha dan Haqiem mengatakan ia jelas menunjukkan satu bentuk buli siber.

Disebabkan perkara itu, warganet tidak hanya 'menyerang' Aepul, malah isterinya, Leez Rosli turut menerima tempias sama.

Katanya, berbalik pada 'disclaimer' pada awal video muzik itu, ia hanya rekaan dan mereka juga tidak menyebut mana-mana nama atau jenama.

“Pada saya, buli siber adalah bentuk buli secara terus dan berniat menyakiti sedangkan kami tiada niat begitu.

"Isteri turut terkena tempias sama. Tidak adil mengaitkan isteri saya dan menyakitinya sehingga ada yang mendoakan yang tidak baik pada anak kami. Harap anda berhenti.

"Inilah sebenarnya yang dikatakan buli siber. Menyakiti secara terus dan tepat, walaupun menggunakan akaun palsu," katanya.

Menurutnya, Drama Band menerima apa saja pandangan umum kerana mereka berhak berbuat sedemikian.

Aepul mengandaikan warganet hanya melihat dari mata negatif dan dia mendoakan supaya mereka dapat memahami mesej sebenar yang ingin mereka sampaikan.

Terdahulu, berdasarkan video muzik berkenaan, babak perempuan menang pertandingan lalu berparti di kelab malam dan seterusnya memulangkan tiara kemenangan disamakan dengan Haneesya manakala paparan seorang lelaki berkaca mata hitam mencari cara memalsukan kemurungan di Google pula dikaitkan dengan Haqiem.

Pada babak lain dipertontonkan seorang wanita bertudung yang kemudiannya menanggalkan hijabnya dan membuka zip jaket memperlihatkan pakaian dalam itu pula disamakan dengan Erniesha.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 3:32 PM