Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Sering apabila artis wanita dan lelaki berkawan rapat, pasti timbul spekulasi mereka bercinta.

Penyanyi, Andi Bernadee dan Sarah Suhairi, juga tidak terlepas berdepan andaian netizen yang berasakan mereka hangat bercinta.

Andi bagaimanapun mengakui tidak kisah sekiranya netizen menganggap dia dan penyanyi lagu Nyawa dan Raga itu pasangan kekasih.

“Saya anggap andaian dan komen mereka sekadar usikan. Saya dan Sarah tahu di mana kedudukan kami sekarang.

“Kalau benarlah kami bercinta, sudah pasti saya akan berkongsi dengan semua,” katanya.

Penyanyi berusia 28 tahun itu juga tidak menafikan mereka rapat malah dia selesa berkawan dengan Sarah.

“Saya mula rapat dengan Sarah selepas program Big Stage yang kami sertai tahun lalu melabuhkan tirai. Sejak itu, kami kerap berjumpa untuk berbincang hal kerja dan sebagainya,” katanya.

Ditanya sama ada dia menyimpan perasaan terhadap penyanyi berusia 19 tahun itu, Andi tidak menolak sekiranya ia berlaku.

“Saya tak menolak sekiranya satu hari nanti jatuh cinta dengan dia. Apapun, buat masa ini kami rapat sebagai kawan,” katanya.


Sementara itu, Sarah mendedahkan dirinya sering menjadi bahan usikan rakan-rakan.

“Mereka selalu juga bergurau dan menyakat kononnya saya bercinta dengan Andi. Saya tak marah atau terasa hati pun” katanya.

Jelas Sarah lagi, dia sudah bersedia berdepan apa juga situasi apabila menceburi dunia hiburan.

“Sebagai selebriti, saya tak dapat tutup mulut netizen. Setiap kali saya muat naik gambar dengan artis lelaki tentu ada yang bertanya dan buat andaian saya sedang bercinta.

“Hakikatnya, hanya saya yang tahu. Terserah kepada mereka mahu cakap atau fikir apa pun kerana saya tak dapat nak halang,” katanya.

Tambah Sarah, usianya terlalu muda untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki.

“Cinta perlukan komitmen. Jadual kerja saya terlalu padat, memang tak sempat fikir soal cinta. Lagipun, banyak lagi yang saya mahu kejar dalam usia muda ini,” katanya.

Bercuti di Australia

Ramai pengikut setia dua penyanyi ini keliru apabila tahu mereka bercuti di Australia, baru-baru ini.

Namun, Sarah dan Andi menjelaskan mereka ke negara itu bagi menjayakan penggambaran program travelog.

Menurut Sarah, walaupun bekerja dia tetap berasa sangat teruja dan gembira dapat menjejakkan kaki ke negara kanggaru itu buat kali pertama.

“Kami ke Australia bagi menjayakan penggambaran program Travel Like Local x Aussie yang akan ditayang­kan pada April depan.

“Memandangkan ini kunjungan sulung, saya memang berasa sangat seronok,” katanya.


Menurut Sarah, cuaca negara itu yang berangin membuatkan percutiannya rasa sangat selesa.

“Di sana, tahap panasnya tidak banyak beza dengan Kuala Lumpur. Cuma, lebih seronok kerana anginnya kuat. Jadi, nak berjalan pun rasa selesa,” katanya.

Bagi Andi pula, ini rezeki buatnya selepas pulang mengerjakan umrah.

“Sejurus selepas pulang dari tanah suci Makkah, saya dapat tawaran untuk turut serta dalam program ini. Inilah namanya rezeki yang tak disangka dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Berbeza dengan percutian lain, program itu membawa mereka berkunjung ke destinasi popular yang sering menjadi tumpuan penduduk tempatan.

“Kami dibawa ke Australia Barat iaitu di Perth selama tiga hari. Di sana, kami berkunjung ke beberapa tempat menarik,” katanya Andi.

Ditanya mengenai pengalaman bercuti bersama Sarah, Andi berkata, dia banyak ‘membuli’ Sarah.

“Bukanlah ‘buli’ sehingga menyebabkan kecederaan tetapi lebih kepada menyakat dia. Bagaimanapun ada satu ketika, saya pula jadi bahan usikan dia.

“Mana tidaknya, kami dibawa menaiki bot untuk melihat kawasan peliharaan udang kara. Apabila bot berhenti di tengah laut, saya mula mabuk laut. Ketika itu dia mentertawakan saya,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 10:03 AM