MAWI (tengah) bersama dua pelakon utama filem sulung arahannya, Hazama (kanan) dan Along Cham (kiri) - FOTO NSTP
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


“Saya tak guna taktik kotor langsung seperti ada orang dalam atau kenal rapat dengan individu tertentu. Semua itu memang tak ada,” kata Mawi, 37, mengenai filem sulung arahannya yang mendapat kelulusan tayangan di 77 buah pawagam seluruh negara bermula 4 April ini.

Mawi berkata, dari mula penggambaran, pemasaran hingga ke pengedaran, semuanya dilakukan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Kalau ada yang kata saya guna taktik kotor untuk dapat jumlah pawagam yang banyak, tak baik mereka cakap begitu,” katanya.

Menurut Mawi, semua proses seperti menghantar ke Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan kemudian ke Skim Wajib Tayang diuruskan sendiri.

“Saya juga menghadiri sesi pratonton bersama Skim Wajib Tayang dan pihak pawagam termasuk hadir mesyuarat untuk tentukan tarikh tayangan.

“Semuanya saya turun (hadir) dan ikut undang-undang. Jadi, tak ada masalah apabila dapat hasil keputusan yang begini.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur, tapi untuk menggunakan taktik kotor semestinya tidak,” katanya.

Mawi berkata, jika ada pihak masih kurang percaya dengan penjelasannya itu, dia tidak buat apa-apa dan akan membiarkannya saja.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan Skim Wajib Tayang serta pihak pawagam kerana yakin dengan karya saya,” katanya.


NAFI ada kepentingan dengan pihak tertentu. FOTO - NSTP

Ditanya sama ada kepercayaan itu diperoleh berikutan hubungan rapatnya dengan syarikat produksi besar seperti Skop Production Sdn Bhd, Mawi menafikannya.

“Memang saya baik dengan Datuk Yusof Haslam (pemilik Skop Production) dan anaknya, pengarah terkenal Syamsul, tetapi untuk filem ini kami tak ada sebarang kerjasama. Urusan pengedaran untuk filem saya nanti dilakukan Empire Films. Jadi, tidak wajar hubungan baik itu cuba dikaitkan,” katanya.

Mawi yang masih merahsiakan judul filem bergenre komedi Islamik itu berkata, dia sudah berusaha menghasilkan karya itu sebaik mungkin.

Filem berkenaan menggandingkan pelakon Joey Daud, Along Cham dan Hazama selaku watak utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 5:01 PM