MICHELLE (empat dari kiri) bersama selebriti Lady Gaga (kiri), Jada Pinkett Smith, Alicia Keys (tiga dari kiri) dan Jennifer Lopez (kanan) memberi ucapan masing-masing. FOTO AFP
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

MALAM kemuncak Anugerah Grammy ke-61 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, kelmarin menyaksikan penyanyi wanita mendominasi empat kategori utama acara berprestij itu.

Album Golden Hour penyanyi Country, Kacey Musgrave diangkat Album Terbaik Grammy tahun ini.

Penyanyi jelita British, Dua Lipa pula dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik.

Cardi B pula menjadi wanita rap solo pertama membawa pulang anugerah Album Rap Terbaik menerusi Invasion of Privacy.

Dia menewaskan empat pesaing hebat yang semuanya penyanyi rap lelaki iaitu Mac Miller, Nipsey Hussle, Pusha T dan Travis Scott.

Sebelum ini, anugerah terbabit pernah dimenangi Lauryn Hill yang ketika itu anggota kumpulan Fugees pada 1997.

Kesungguhan Emily Lazar dalam menerbitkan album ke-13 penyanyi Beck yang berjudul Colors melayakkan dia memenangi Album Jurutera Terbaik (Bukan Klasikal).

Ia sekali gus mencatatkan Emily sebagai wanita pertama memenangi kategori terbabit.

PENYANYI rap, Offset mencium tangan isterinya, Cardi B yang memenangi Album Rap Terbaik. FOTO REUTERS

Acara dibuka dengan menampilkan barisan selebriti wanita berpengaruh antaranya mantan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama, Jada Pinkett Smith dan Lady Gaga yang berkongsi peranan muzik dalam kehidupan mereka.

Kemunculan isteri Barack Obama di pentas mengejutkan penonton. Dalam ucapan ringkasnya, Michelle berkata muzik membantu dia dalam berkongsi kisahnya.

"Tidak kisah sama ada kita suka country, rap atau rock, muzik membantu kita berkongsi pengalaman. Ia juga membolehkan kita berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.

Sorotan menarik lain termasuk Childish Gambino atau Donald Glover turut menang besar pada malam itu apabila menggondol empat trofi.

DUA Lipa menangis ketika menerima trofi Artis Baru Terbaik yang disampaikan Bob Newhart (kanan) dan Alessia Cara (kiri). FOTO AFP

Pelawak, DJ, produser dan pengarah itu menerima trofi bagi kategori Video Muzik Terbaik dan Persembahan Rap/Sung Terbaik.

Penyanyi itu turut bertuah apabila This Is America menjadi lagu rap pertama diangkat sebagai Rekod Terbaik dan Lagu Terbaik.

Cardi B tutup akaun Instagram

Tidak lama selepas meraikan pencapaian besarnya, Cardi B memadamkan akaun Instagram miliknya petang kelmarin.

Ia berikutan kecaman dan komen negatif netizen terhadap kemenangannya yang memaksa isteri penyanyi rap Offset itu bertindak demikian.

Bagaimanapun, ibu kepada seorang anak ini belum tampil memberi penjelasan terhadap isu terbabit.

EMILY Lazar menerima trofi Album Kejuruteraan Terbaik (Bukan Klasikal). FOTO AFP

Terdahulu, Cardi memuat naik video di Instagram Story membalas kritikan netizen yang berasakan dia kurang layak memenangi Album Rap Terbaik. Bagaimanapun, video itu sudah dipadam.

Majlis penganugerahan Grammy bersiaran secara langsung di saluran CBS mencatatkan lebih 19.9 juta tontonan.

Senarai pemenang

ALBUM TERBAIK - Golden Hour (Kacey Musgraves)

RAKAMAN TERBAIK - This Is America (Childish Gambino)

LAGU TERBAIK - This Is America (Childish Gambino)

ARTIS BARU TERBAIK - Dua Lipa

PERSEMBAHAN SOLO POP TERBAIK - Joanne (Where Do You Think You're Goin'?), Lady Gaga

PERSEMBAHAN BERKUMPULAN/DUO POP TERBAIK - Shallow (Lady Gaga dan Bradley Cooper)

ALBUM COUNTRY TERBAIK - Golden Hour (Kacey Musgraves)

ALBUM VOKAL POP TERBAIK - Sweetener (Ariana Grande)

ALBUM VOKAL POP TRADISIONAL - My Way (Willie Nelson)

PERSEMBAHAN RAP TERBAIK - King's Dead (Kendrick Lamar, Jay Rock, Future dan James Blake / "Bubblin," Anderson Paak)

PERSEMBAHAN RAP/SUNG TERBAIK - This Is America (Childish Gambino)

LAGU RAP TERBAIK - God's Plan (Drake)

ALBUM RAP TERBAIK - Invasion Of Privacy (Cardi B)

PERSEMBAHAN ROCK TERBAIK - When Bad Does Good (Chris Cornell)

PERSEMBAHAN METAL TERBAIK - Electric Messiah (High On Fire)

LAGU ROCK TERBAIK - Masseduction (St Vincent)

ALBUM MUZIK ALTERNATIVE TERBAIK - Tranquility Base Hotel & Casino (Arctic Monkeys)

ALBUM ROCK TERBAIK - From The Fires (Greta Van Fleet)

PERSEMBAHAN R&B TERBAIK - Best Part (H.E.R. feat Daniel Caesar)

PERSEMBAHAN TRADISIONAL R&B TERBAIK - Bet Ain't Worth The Hand (Leon Bridges)

LAGU R&B TERBAIK - Boo'd Up (Ella Mai)

ALBUM R&B TERBAIK - H.E.R

LAGU COUNTRY TERBAIK - Space Cowboy (Kacey Musgraves)

PERSEMBAHAN COUNTRY BERKUMPULAN/DUO TERBAIK - Tequila (Dan+Shay)

PERSEMBAHAN SOLO COUNTRY TERBAIK - Butterflies (Kacey Musgraves)

RAKAMAN TARIAN TERBAIK - Electricity (Silk City & Dua Lipa feat Diplo dan Mark Ronson)

ALBUM ELEKTRIK/TARIAN TERBAIK - Woman Worldwide (Justice)

PRODUSER BUKAN KLASIK TERBAIK - Pharrell Williams

VIDEO MUZIK TERBAIK - This Is America (Childish Gambino)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 8:49 AM