Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


"SETIAP kali anak menangis, saya akan turut menangis. Memang sedih sangat. Tak sampai hati pula melihatnya. Saya pula tak boleh menyusukannya sebab anak kena berpuasa sebelum menjalani pembedahan petang ini."

Itu kata pelakon Lana Nodin mengenai keadaan anak keduanya, William Daud Mckienzie, dua bulan yang bakal menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana masalah injap (Aortic Stenosis).

Lana, 40, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin berkata, anaknya mula berpuasa sejak jam 8 pagi tadi dan masih menunggu giliran bagi proses pembedahan.

Katanya, semalam anaknya dimasukkan ke wad untuk menjalani pemeriksaan dan pagi tadi dia sudah mula berpuasa.

“Setiap kali dia terjaga mesti menangis sebab lapar. Kebiasaannya saya akan menyusukannya sejam sekali. Tetapi hari ini tak boleh.

"Sebagai ibu tentu saja saya sedih melihat keadaannya. Rasa tak sanggup. Mujur ada suami menemani jadi kami boleh bergilir jaga anak.

“Malah sejak semalam saya tak lena tidur sebab mengenangkan nasib anak," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, dia juga gementar menunggu pembedahan itu dan hanya mampu berdoa semoga segalanya dipermudahkan.

“Terima kasih kepada semua keluarga, kenalan dan peminat yang sentiasa memberikan kata-kata semangat dan mendoakan anak saya," katanya.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan anaknya akan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi pemantauan lanjut.

"Insya-Allah, jika tidak ada sebarang komplikasi anak akan ditempatkan di wad biasa. Sebelumnya kena masuk ICU dulu untuk satu malam.

"Selepas itu, anak perlu menjalani pemeriksaan berkala bagi memastikan injap jantung berfungsi dengan baik dan pemantauan juga berterusan hingga dia besar," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana masalah dihadapi anaknya tidak seteruk bayi dan kanak-kanak lain yang menghidap penyakit jantung.

"Apabila melihat ibu bapa lain yang sangat kuat, saya juga kena jadi seperti mereka. Saya tak boleh lemah semangat.

"Walaupun anak tak sempurna macam bayi lain, tapi saya bersyukur dugaan tak seberat orang lain. Apa diharapkan, semoga anak sembuh dan membesar dengan baik," katanya.

Lana turut mengajak orang ramai untuk menderma di Yayasan IJN bagi membantu bayi dan kanak-kanak pesakit jantung.

"Kalau ada yang mahu membantu, terima kasih saya ucapkan. Tetapi sebaiknya wang itu disalurkan ke tabung Yayasan IJN kerana ada ramai lagi bayi dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan anda.

"Pada saya apa yang diperlukan daripada anda semua adalah doa supaya anak selamat menjalani pembedahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:36 PM
LANA Nordin dan suami, Daud Mckienzie bergilir menjaga anak mereka, William di Institut Jantung Negara. FOTO Sudirman Mohd Tahir