FISC ketengahkan single Koma Noktah Baris untuk pasaran Malaysia. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

BIARPUN memiliki karier stabil sebagai cef makanan Barat di sebuah restoran di Putrajaya, bintang baru kelahiran Indonesia, Fisc An tetap ingin menceburi bidang nyanyian. Apatah lagi, bakatnya dicungkil komposer berpengalaman tanah air, Rosli Ahmad menerusi pertandingan Radical Star Search (RSS) pada 2016.

Bahkan, Fisc An atau nama sebenar Chairul Anwar Panjaitan, 33, turut mendapat kepercayaan daripada Rosli untuk menyanyikan single ciptaannya berjudul Koma Noktah Baris.

Berbicara mengenai single itu, Fisc An berkata dia sangat berbesar hati apabila Rosli sudi memberikan lagu berkenaan kepadanya.

“Terus terang, saya sudah selesa menetap di Malaysia dan atas sebab itu nekad mencuba nasib menceburi dunia seni.

“Ini kerana selain memasak saya memang minat menyanyi. Atas sebab itu, saya beranikan diri menyertai pertandingan RSS tiga tahun lalu,” katanya.

Mampu menyanyikan pelbagai genre lagu, Fisc An berkata sebagai salam perkenalan, dia memilih balada.

“Bagaimanapun, single Koma Noktah Baris sudah saya lancarkan di Indonesia tahun lalu dan berjaya menembusi carta popular radio selama beberapa bulan.

“Cuma, untuk tahun ini saya berasakan sampai masanya untuk single Koma Noktah Baris diketengahkan pula dalam pasaran Malaysia.

“Harap single ini mesra radio dan mendapat maklum balas positif daripada pendengar.

“Saya tidak mengejar populariti untuk menjadi penyanyi terkenal tetapi cukuplah sekadar karya lagu nyanyian diterima baik pendengar,”katanya.

Sudah 12 tahun menetap di negara ini, Fisc An memberitahu dia tidak ketinggalan mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air.

“Saya mengikuti ‘trend’ muzik yang menjadi pilihan pendengar di Malaysia termasuk barisan penyanyi popular.

“Saya cekalkan hati masuk bidang ini bukan mahu bersaing tetapi sekadar mewarnai industri hiburan saja,” katanya.

Selain rancak mempromosikan Koma Noktah Baris, Fisc An berkata dia bercadang muncul dengan single kedua.

Jika tiada aral dia akan melancarkan single berjudul Tiada ciptaan komposer Rahim Othman dan lirik ditulis Pojie Roketo tidak lama lagi.

Berbicara mengenai single itu, Fisc An mengakui teruja dapat menyanyikan karya ciptaan komposer terkenal Malaysia.

“Siapa yang tidak kenal dengan Rahim dan karya seni beliau sangat hebat. Saya bersyukur dapat menyanyikan salah satu lagu ciptaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 8:41 AM