ALIF bergerak solo selepas empat tahun berpisah daripada Sleeq. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SELEPAS empat tahun berpecah, orang masih mengaitkan nama saya dengan kumpulan Sleeq lagi. Saya akui memang tidak dapat mengelak perkara ini.

“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan kumpulan Sleeq kerana sudah membina karier nyanyian secara solo,” kata bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif Abdullah ketika mengulas mengenai kumpulan itu sejak mereka berpecah pada 2015.

Menurut Alif, walaupun sudah berpecah, hubungannya dengan bekas anggota Sleeq, Syarif masih baik sampai sekarang.

“Siapa yang tidak sedih dan kecewa bila Sleeq berpecah dulu tapi saya percaya cukuplah 10 tahun kami bersama.

“Sepanjang tempoh itu, kami sudah lakukan segalanya bersama untuk karier nyanyian dan sampai masa bagi saya mengembangkan karier solo pula.

“Saya percaya Tuhan sudah mengatur segalanya untuk kami,” katanya kepada Harian Metro.

Alif mengakui ramai peminat mereka yang kecewa dengan perpecahan kumpulan Sleeq itu.

“Maklumlah berpecah ketika nama kumpulan Sleeq popular tapi kami sudah menghasilkan banyak lagu untuk peminat ketika itu,” katanya.

Ditanya gandingannya dengan Sona One pula menerusi lagu duet Pun Boleh, Alif menafikan penyanyi itu menggantikan kekosongan tempat Syarif.

“Kami bukannya pasangan duo seperti Sleeq dulu sebaliknya gandingan untuk lagu Pun Boleh adalah kolaborasi dua rakan baik bagi lagu duet saja.

“Sebelum lagu Pun Boleh, kami juga pernah bekerjasama menerusi lagu berjudul Like This,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:38 PM