GAMBAR Aepul bersolek menyerupai perempuan di Instagram mengundang persoalan ramai. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Aepul
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


SELEPAS penyanyi Tomok, vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza pula memuat naik sekeping gambar berserta video dalam keadaan bersolek menyerupai wanita di Instagram (IG) miliknya.

Aepul yang lengkap dengan alat solekan seperti bedak asas, gincu dan bulu mata palsu, membuatkan ruang komen di IGnya dihujani pelbagai pertanyaan.

Pun begitu, suami kepada pelakon Leez Rosli itu sedikit pun tidak melatah sebaliknya dia sambil berjenaka menjawab setiap soalan yang ditanya.

Menurut Aepul, dia bermekap seperti itu atas tanggungjawab menyempurnakan wataknya untuk muzik video terbaru Drama Band bertajuk Drama.

Menerusi gambar yang dimuat naik itu juga, Aepul turut menulis #MVDrama supaya tidak ada yang keliru dan salah faham. “Kau dah kenapa?” tanya Chilok, Raja Lawak. Kemudian Aepul membalas, “shooting muzik video”.

Tidak ketinggalan juga ada netizen yang berpesan kepada dirinya supaya ingat anak dan keluarga. “Ingat hang ada isteri, ada anak,” tulis netizen.

Malah beberapa rakan artis turut teruja dan bertanyakan soalan yang sama mengapa dia berdandan seperti itu.

Rata-rata mereka memahami mengapa Aepul bermekap seperti itu namun berharap dia tidak berbuat begitu selepas waktu kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:11 PM