KACEY Musgraves menang besar tiga kategori dalam Anugerah Grammy. FOTO AFP
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


ANUGERAH Grammy ke-61 yang berlangsung di Amerika Syarikat, hari ini menyaksikan album Golden Hour milik penyanyi Country, Kacey Musgraves dinobatkan Album Terbaik.

Penyanyi berusia 30 tahun itu turut memenangi Album Country Terbaik dan Persembahan Solo Country Terbaik menerusi Butterflies serta Lagu Country Terbaik bagi Space Cowboy.

Selain Musgraves, Childish Gambino turut menang besar apabila membawa pulang empat trofi iaitu Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Persembahan Rap Terbaik.

Malam kemuncak Anugerah Grammy turut menyaksikan Cardi B mencatat sejarah apabila menjadi penyanyi rap wanita pertama memenangi kategori Album Rap Terbaik.

Kemenangan mengejut itu menyebabkan Cardi menjadi gementar sehingga memberitahu suaminya, Offset dia sukar bernafas.

Menurut Cardi, kehamilan anak sulung, Kulture memaksa dia menyiapkan album dan video muzik secepat mungkin sebelum perutnya semakin membesar.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua artis yang meluangkan masa membantu menghasilkan album ini. Terima kasih juga kepada suami," katanya.

Sementara itu, Dua Lipa membawa pulang Anugerah Grammy pertamanya menerusi Rakaman Tarian Terbaik bagi lagu Electricity gandingan bersama Silk City, Diplo dan Mark Ronson.

Bintang Pop British berusia 23 tahun itu turut diumumkan sebagai Artis Baru Terbaik.

Trofi Album Vokal Pop Terbaik pula menjadi milik Ariana Grande yang menewaskan lima pesaing hebat Camila Cabello, Kelly Clarkson, Shawn Mendes, Pink dan Taylor Swift.

Susulan itu, peminat Swift bertindak mengkritik album Grande di media sosial berikutan kecewa idola kesayangan mereka gagal memenangi kategori terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:21 PM