FAREEZ terima dengan hati terbuka lagu Aku Yang Bersalah bukan untuknya. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


JUARA Mentor Milenia 2016, Fareez Fauzi, 22, mengakui tidak ralat memberi lagu Aku Yang Bersalah hasil ciptaannya bersama Haqiem Rusli yang kini mempopularkan Usop Mentor.

Fareez berkata, dia menerima dengan hati terbuka lagu itu bukan untuknya kerana paling penting sudah menunaikan janji kepada Usop.

“Saya dan Haqiem bekerjasama menyiapkan lagu ini untuk Usop dan syukur single Aku Yang Bersalah berjaya mempopularkan dia.

“Tak dinafikan, memang saya ada menyanyikan lagu ini sendiri sebaik disiapkan. Namun, ia lebih sesuai dengan vokal Usop.

“Malah, saya tumpang gembira dengan kejayaan lagu Aku Yang Bersalah serta populariti diraih Usop. Memang tak ralat pun,” katanya.

Fareez yang juga anak kepada pelakon terkenal, Fauzi Nawawi memberitahu dia pasti mendapat royalti daripada penyiaran lagu itu.

“Walaupun Usop yang menyanyi dan mempopularkannya, tetapi saya masih harus berasa lega kerana menerima hasil royalti.

“Setidak-tidaknya, sumber pendapatan untuk saya masih ada. Apa pun, bagi saya lagu Aku Yang Bersalah ini memang rezeki Usop,” katanya.

Sehubungan itu, muzik video rasmi single Aku Yang Bersalah dimuat naik di YouTube sudah mencatat lebih 5 juta tontonan dalam tempoh tiga bulan.

Fareez yang pernah muncul membintangi filem Badang bersama bapanya tahun lalu, turut mengakui langkahnya membina nama dalam karier seni agak berliku.

“Saya tak nafikan, tiga tahun berusaha ketengahkan bakat seni ternyata bukan perkara mudah untuk saya memahat nama.

“Hingga kini, saya akui masih terkial-kial untuk mendapatkan peluang. Namun, saya takkan patah semangat dan terus mencuba,” katanya.

Sejak bernaung dengan syarikat rakaman FMC, Fareez kini muncul dengan single kedua, Bersamamu hasil ciptaan Gouffran dan Ibnu Rinkarnaen.

Terdahulu, Fareez pernah tampil dengan single pertama berjudul Lagu Radio pada 2016, namun ia gagal membantu melonjakkan namanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 5:49 PM