MONA dan Pekin sentiasa cari ruang waktu berkualiti bersama disebabkan masing-masing sibuk bekerja. FOTO Instagram Mona Allen
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SELEPAS tiga bulan berkahwin pelakon, Mona Allen mengakui belum sempat pergi berbulan madu dengan suaminya yang juga pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim.

Mona, 34, atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen berkata, kesibukan kerjaya memaksa mereka untuk menangguhkan perancangan itu.

“Alhamdulillah, selepas berkahwin rezeki tak pernah putus. Ada saja tawaran berlakon diterima.

“Sekarang jadual penuh hingga pertengahan tahun. Sama juga dengan suami.

“Disebabkan itu, kami tangguh dulu perancangan nak pergi bulan madu. Kalau ikutkan nak ke Santorini, Greece. Memang tempat kesukaan. Ala-ala romantik,” katanya kepada Harian Metro.

Mona yang kini muncul dalam drama Dia Menantu Rahsia di slot Akasia TV3 berkata, kesibukan bekerja tidak menghalang mereka untuk meluangkan waktu berkualiti bersama.

Ditanya mengenai perancangan cahaya mata, Mona berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

“Soal anak adalah rezeki Allah SWT. Saya dan suami tak pernah merancang. Kami ikut saja aturan ditetapkan.

“Kalau ada, kami bersyukur sangat. Kami tidak menolak rezeki,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perhubungan mereka, Mona berkata, dia dan Pekin mula menjalin hubungan sejak 2016.

“Lebih setahun juga kami bercinta. Sepanjang tempoh itu kami memang tak pernah kongsi atau muat naik gambar di Instagram (IG). Kami memilih untuk bersikap ‘low profile’.

“Lagi pun, pada waktu itu belum ada sebarang ikatan yang sah. Jadi, tak manis pula. Namun, kalau ada peminat yang jumpa dan ingin bergambar bersama, kami okey saja.

“Malah ada juga yang ‘tag’ di IG. Mungkin ramai yang tak perasan. Pendek kata kami tak pernah sorok pun. Siapa yang tahu, tahulah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 2:28 PM