AS-Sabil. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

TERUS ingin mendapat lebih peluang memahat nama dan bakat dalam industri hiburan, As-sabil Band mengakui ia cabaran yang bukan mudah.

Apatah lagi, genre muzik diperjuangkan band dianggotai enam pemuzik separuh masa ini berbeza dengan kumpulan popular masa kini.

Tampil dengan single kerohanian berjudul Seruan, As-sabil Band semakin gigih dan cekal mencari peluang untuk mereka dikenali.

As-sabil Band dianggotai Anggrissari Jamaludin atau Anger selaku vokalis, Zamir Nafiz Zulkifli (Zamir - bass), Abdullah Zainal Abidin (Jojo - gitar), Doddie Mohd Hamdi (Doddie - gitar), Zulaikha Zulkifli (Eka - keyboard) dan Ahmad Rezalludin Abdul Rahman (Reezal - dram).

Berbicara mengenai perancangan As-sabil Band untuk 2019 ini, Jojo berkata, mereka sebenarnya dalam usaha mendapatkan pengurus.

“Selama setahun ditubuhkan, hingga kini As-sabil Band menyusun jadual aktiviti kami sendiri mengikut tawaran persembahan dit

erima.

“Walaupun, tawaran persembahan tidaklah terlalu banyak, As-sabil Band sangat menghargai setiap peluang dimiliki.

“Bagi As-sabil Band, apa saja peluang kami peroleh perlu digunakan dengan baik untuk meyakinkan penonton yang menyaksikan persembahan dibuat,” katanya.

Menurut Jojo, apa yang pasti As-sabil Band tidak gentar berjuang dalam usaha meletakkan nama mereka untuk berjuang di arena muzik arus perdana.

Di atas sebab itu, Jojo berkata, As-sabil Band sangat memerlukan seorang pengurus untuk membantu menyusun pelbagai aktiviti publisiti lebih mantap.

Sementara itu, Reezal pula menjelaskan As-sabil Band sangat mengharapkan peluang daripada banyak pihak untuk mengembangkan pengaruh muzik mereka.

Biarpun As-sabil Band tidak banyak pengalaman dalam industri, mereka berenam sebenarnya sudah lama aktif bermain muzik.

“Cuma, apabila bersatu dalam As-sabil Band kami sebulat suara bermula dari bawah. Atas paksi alasan ini, kami giat berusaha mencari peluang.

“Ditambah lagi peluang tak datang bergolek untuk berjaya tanpa usaha. Jadi, As-sabil Band perlu rajin dan tenang mengatur hala tuju kami,” katanya.

Menurut Reezal, single Seruan juga menjadi satu titik permulaan dan harapan positif buat perjuangan seni muzik As-sabil Band.

“Apa yang sudah pasti, ada sinar kegembiraan buat As-sabil Band apabila Seruan menjadi pilihan untuk dimuatkan sebagai satu daripada lagu tema filem berjudul Seruan Saka.

“Biarpun, ia filem bergenre seram, As-sabil Band tetap mengharapkan karya arahan Raja Azrey ini berjaya apabila ditayangkan pawagam nanti.

Reezal berharap dengan menjadi lagu tema filem Seruan Saka itu, ia dapat membantu single Seruan lebih menarik minat pendengar muzik.

Filem Seruan Saka yang dijangka menemui penonton tahun ini diharapkan dapat membawa sinar lebih bergemerlapan buat perjalanan muzik As-sabil Band.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 10:16 AM