DOKTOR gigi yang cintakan dunia muzik. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

BUKAN mudah untuk dikenali sekiranya tiada usaha dan hati kental. Begitulah yang dapat diperkatakan mengenai Dr Irma Shidah Abu Samah, komposer dan penulis lirik yang baru setahun jagung cuba menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.

“Tahun lalu, label yang saya tubuhkan, Dr Irma Entertainment baru bertatih dan sedar cabaran sebagai syarikat kecil yang cuba untuk menjadi besar.

“Ada yang tanya, adakah kerjaya sebagai doktor gigi tidak mendatangkan hasil sehingga mahu masuk industri muzik pula?

“Kalau mahu dibandingkan jadi doktor gigi dengan industri muzik, sudah tentu pendapatan doktor gigi lebih lumayan,” katanya.

Doktor gigi asal Johor Bahru ini mengakui memilih dunia hiburan kerana minat mendalam dan dan ini adalah tempoh percubaan untuk membuktikan kemampuannya kepada khalayak.

Dia nekad mencuba nasib dan akan terus berusaha menempatkan diri. Soal berjaya atau tidak, itu soal kedua.

Antara yang dilakukan adalah memberi karya ciptaannya kepada penyanyi popular tempatan.

“Sangat sukar untuk penulis lirik dan komposer menyerahkan karya kepada label lain untuk dinyanyikan artis mereka.

“Kalau beri kepada artis, tiada masalah asalkan mereka boleh menjiwainya. Saya pernah hantar lagu kepada Misha Omar, Khai Bahar, Hafiz Shuib, Tomok dan ramai lagi,” katanya.

Hanya Azharina dan Ferhad saja yang berminat kerana mereka bukan bernaung di bawah mana-mana label muzik dan boleh membuat keputusan sendiri.

Irma berkata, walaupun lagu ciptaannya tidak diterima, tiada istilah kecewa kerana sedia maklum pihak label ada kriteria serta strategi tersendiri untuk artis di bawah seliaan mereka.

Lagi pun, dia bukan jenis cepat merajuk kerana tahu tiada siapa akan memujuk.

“Kalau tak boleh, tak mengapa. Kita terus mencuba dan berusaha seperti biasa,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai label Dr Irma Entertainment, memandangkan ia masih baru maka pasti akan mengambil masa untuk berkembang.

Tambahan pula dia tidak terlalu agresif mempromosikan labelnya walaupun mempunyai artis yang bernaung di bawah syarikat itu.


DR Irma bersama penyanyi di bawah labelnya, Ray Asri (kiri), Akmar Natasha dan Gya (kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin

“Sebagai label, kami sentiasa mencari bakat baru. Ada beberapa artis yang pernah bernaung di bawah syarikat kami tidak sambung kontrak dan kami menghormati keputusan mereka.

“Jadi, sebagai label yang kini tidak ramai artis, saya mencari jalan bagaimana mahu berkembang. Maka, kami anjurkan pertandingan nyanyian Suara Juara untuk mencari bakat baru,” katanya.

Hasil pencarian bakat itu, dia berjaya mencungkil beberapa bakat baru yang ada potensi untuk pergi lebih jauh.

“Kalau tidak beri peluang kepada bakat baru ini, siapa lagi yang nak bantu? Jika saya mengejar penyanyi yang sudah ada nama, macam mana saya nak wujudkan satu nama baru?

“Mungkin perjuangan itu lain sikit dan saya kena kerja keras untuk buktikan. Apa yang saya buat untuk 2019 adalah langkah pertama,” katanya.

Irma menegaskan, tidak untung besar sejak terjun ke bidang ini namun percaya kalau terlalu fikirkan soal duit, niat asal akan terpesong jauh.

Baginya, buat masa ini fokusnya adalah merealisasikan impian dan harapan artis baru di bawah jagaannya.

Berkongsi strategi 2019, Irma mahu lebih agresif dengan mula mengumpul rakan strategik dalam dunia hiburan.

Katanya, kolaborasi unik ini akan memberi impak tersendiri dengan adanya gabungan pengalaman serta kepakaran semua pihak yang terbabit.

“Saya yakin dengan kolaborasi bersama Leroy Crew Productions, Riya Suara dan Didz Squad Studios, artis di bawah label Dr Irma Entertainment boleh bersaing dengan lebih sihat dalam pasaran muzik tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:29 AM