Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Selepas sembilan bulan berkahwin dengan Putera Harry, bekas pelakon Amerika Syarikat, Meghan Markle terus dilanda pelbagai masalah.

Perlu melayan drama keluarga yang tidak berkesudahan, ‘Duchess of Sussex’ itu turut berdepan pelbagai berita negatif yang sering mengaitkan namanya.

Konflik antara Meghan dan bapanya, Thomas Markle perkara paling memenatkan harus dilalui setiap hari dalam keadaan dirinya kini hamil enam bulan.

Jika wanita lain asyik menikmati detik indah kehamilan, Meghan berbeza apabila ketenangan hidupnya terganggu dengan kerenah bapanya.

Menerusi beberapa

temu bual media, Markle kerap menyebut dia tidak dapat menghubungi Meghan sejak anaknya berkahwin pada Mei tahun lalu.

Malah dengan lantang dia turut mempersoalkan dan mengkritik keluarga diraja Britain itu kerana cuba memutuskan hubungan dua beranak ini.

Cuba mempertahankan Meghan, seorang sahabat karibnya yang enggan dikenali berkata apa yang dikatakan Markle kepada media selama ini adalah tidak benar.

Menurut rakan itu, Markle tidak pernah sekali pun menghubungi Meghan.

“Dia tahu nombor telefon Meghan tetapi tidak pernah menghubunginya apatah lagi untuk mengirim mesej. Sedangkan Meghan sentiasa cuba berhubung dengan ayahnya.

“Saya pasti Meghan sangat kecewa dengan apa yang berlaku kerana dia sedaya upaya cuba memulihkan hubungan dengan ayahnya,” kata teman Meghan.

Katanya lagi, Meghan juga pernah cuba mengirim surat kepada bapanya beberapa jam sebelum bernikah, namun Markle seakan-akan menidakkan perkara itu.

“Saya tahu isi surat itu, Meghan sangat berharap ayahnya berhenti daripada terus menggunakan media untuk mendapatkan perhatian.

“Lebih menyedihkan, selain ayah, kakak tirinya turut mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku sedangkan sebelum ini hubungan mereka tidak rapat.

“Malah, kakak tirinya tidak pernah ambil kisah keadaan Meghan sebelum ini,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 19 Mei lalu di Gereja St George, Istana Windsor, United Kingdom.

Meghan dijangka bersalin pertengahan tahun ini. Dalam pada itu, beliau belum bersedia mengumumkan jantina anak dalam kandungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:03 AM